PONTIAN: Solat subuh berjemaah menyelamatkan sebuah keluarga ketika rumah mereka dihempap sebatang pokok petai yang tumbang ketika hujan di Kampung Parit Jawa, Sanglang di sini, kelmarin.
Ketika kejadian, anak sulung keluarga itu yang sedang mengambil wuduk di bilik air berlari ke ruang tamu apabila terdengar bunyi kuat pada bahagian dapur.
Ahmat Shari Misran, 42, berkata, dia bersama isteri, Siti Norlia Taib, 32, sedang solat subuh bersama tiga anaknya yang berumur 8, 11 dan 13 tahun ketika pokok petai berusia lebih 30 tahun itu tumbang.
“Mujur pokok petai tersebut tidak menghempap terus dapur, sebaliknya tersangkut di bahagian tepi rumah, namun banyak kerosakan dialami disebabkan kejadian tersebut.
“Antaranya zink rumah serta struktur asas dapur seperti tiang dan bumbung tidak boleh digunakan lagi,” katanya ketika ditemui.
Sepasukan anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memotong dahan pokok itu.
Ahmat Shari berkata, dia bersyukur tiada kejadian buruk menimpa keluarganya yang tinggal di rumah pusaka berusia 50 tahun itu.
“Allah nak selamatkan kami sekeluarga, solat subuh berjemaah telah menghindarkan kami dari keadaan yang lebih buruk. Saya sekelurga kini tinggal sementara di rumah emak di kampung ini sehingga kerja-kerja pembaikan dilakukan.
“Pagi ini (semalam) kami dikunjungi oleh pegawai khas Pejabat Ahli Parlimen Pontian bersama Penghulu Mukim Ayer Baloi dan ketua kampung yang menyatakan kesediaan untuk membantu membaiki rumah saya,” katanya. – UTUSAN










