Cemburu punca peniaga wanita marah pengusaha pusat kecantikan

Cemburu, punca peniaga wanita marah pengusaha pusat kecantikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cemburu serta masalah peribadi dipercayai menjadi punca seorang peniaga wanita bertindak memarahi dan mengeluarkan kata kesat terhadap seorang pengusaha pusat kecantikan di Taman Dagang dekat sini pada 26 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pengadu berusia 58 tahun itu mendakwa suspek telah datang ke premisnya kira-kira jam 9.45 malam.

Katanya, suspek yang merupakan peniaga di aras sama telah memarahi pengadu sambil menjerit dan mengeluarkan kata kesat hingga menimbulkan ketakutan kepada pelanggan yang berada di dalam kedainya, selain orang awam sekitar lokasi kejadian. 

“Pengadu mendakwa dia pernah bertengkar sahaja dan perkara itu telah berlarutan sejak dua bulan lepas.

“Susulan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya berjaya menahan suspek berusia 46 tahun di kawasan Ampang pada 5 petang, Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Jelasnya, motif kejadian adalah masalah peribadi suspek dengan pengadu apabila suspek sering bercerita perkara buruk pada keluarga peniaga pusat kecantikan itu.

“Malah motif dipercayai disebabkan cemburu berkenaan perniagaan masing-masing.

“Suspek direman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jamin polis,” katanya. 

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Jelasnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×