Hafiz sedia ke Sukan SEA jika dipanggil

Hafiz sedia ke Sukan SEA jika dipanggil

KHAIRUL Hafiz Jantan (kanan) bersama kuartet 4x100 meter Malaysia A yang memenangi pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Kangar, Perlis.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: “Insya-Allah kalau ada rezeki (ke Sukan SEA), saya pun tidak pasti. Saya sedar prestasi sekarang agak menurun, sebab saya baru berlatih semula sejak empat minggu lalu selepas pulih dari kecederaan.”

Itu luahan Khairul Hafiz Jantan yang pernah dinobat jaguh pecut negara yang sentiasa mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa khususnya Asia Tenggara.

Namun, bekas raja pecut Asia Tenggara yang pernah menjuarai acara 100 meter (m) di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu berdepan masalah prestasi ketika berada di puncak, malah dia belum pasti tentang nasibnya sama ada terpilih ke Thailand hujung tahun ini.

Sebelum ini, atlet berusia 27 tahun itu pernah menyatakan hasrat bersara jika gagal layak ke Sukan SEA 2025 di Thailand namun Khairul Hafiz sebenarnya masih diperlukan bagi memberi dorongan kepada kepada rakan-rakan lain lebih muda khususnya dalam acara 4x100m.

Khairul Hafiz pernah mencipta sensasi pada 2016 apabila mencatatkan masa 10.18 saat sekali gus meleburkan rekod kebangsaan 10.30s berusia 18 tahun milik Watson Nyambek.

Katanya, dia sememangnya mengakui prestasi ketika ini tidak begitu baik, malah baharu sahaja menjalani pemulihan kecederaan otot paha kiri ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Korea Selatan baru-baru ini.

Katanya, dia tidak berdepan tekanan berhubung pemilihan atlet ke Sukan SEA nanti.

“Insya-Allah kalau ada rezeki (ke Sukan SEA), saya pun tidak pasti. Saya tidak mahu apa orang kata guna kabel atau sebagainya (untuk terpilih). Saya sedar prestasi sekarang agak menurun, sebab saya baru berlatih semula sejak empat minggu lalu selepas pulih dari kecederaan.

“Apa jua keputusan, saya terima memandangkan matlamat saya hanya untuk membantu Malaysia mendapatkan pingat di Sukan SEA. Kalau ada rezeki saya dapat main, saya terima dan kalau tidak diberi peluang pun, saya terima juga.

“Pada masa ini juga, saya hanya mengikut segala perancangan jurulatih, Institut Sukan Negara (ISN) dan pasukan perubatan dalam misi untuk bangkit semula daripada belenggu kecederaan dialami sebelum ini,” katanya.

Dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra di sini kelmarin, kuartet 4×100 Malaysia A cemerlang apabila memenangi pingat emas.

Gandingan Khairul Hafiz bersama Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee melakukan catatan masa 39.68s. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×