14 syarikat salah guna lesen import untuk kegiatan haram - Utusan Malaysia

14 syarikat salah guna lesen import untuk kegiatan haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 14 syarikat dalam Op Sikaro akan memfokuskan isu salah guna lesen dan pengisytiharan palsu.

Beberapa syarikat pula dikesan bertindak sebagai forwarding agent yang tidak mempunyai lesen bagi membawa masuk tembakau dan cerut.

Kesemua 14 syarikat yang terlibat dengan sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut mempunyai lesen import yang sah.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, modus operandi mereka adalah melakukan kegiatan haram dengan berselindung di belakang syarikat sah dengan menyalah guna lesen untuk membuat pengisytiharan palsu (misdeclaration) seperti menukar kod kastam atau butiran barangan untuk mengelak pembayaran cukai sebenar.

Katanya, selain pengisytiharan palsu, syarikat terlibat juga dikesan melakukan penyeludupan tembakau, cerut, rokok, dan minuman keras dengan menyimpan barang-barang itu dalam gudang persendirian sebelum diedarkan ke pasaran. 

“Siasatan SPRM menerusi Op Sikaro juga akan memberi fokus kepada peranan forwarding agent yang turut menyumbang kepada penyelewengan dan penipuan.

“Beberapa forwarding agent dipercayai beroperasi tanpa lesen atau dokumen yang lengkap sehingga mempermudah aktiviti haram,” katanya hari ini.

Mohamad Zamri berkata, kegiatan itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai yang lebih RM250 juta antara 2020 hingga 2024 membabitkan tembakau dan cerut.

Katanya, SPRM percaya jumlah kerugian keseluruhan adalah lebih besar. 

“Ini selepas SPRM membekukan akaun perbankan individu dan syarikat bernilai kira-kira RM218 juta serta menggantung lesen import beberapa pihak terlibat,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×