KUANTAN: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat Khamis lalu, bukan sahaja mencipta sejarah buat Malaysia sebagai negara terawal mempunyai perundangan membela hak pekerja sektor itu, malah menjadi titik tolak penting ke arah penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).
Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, SEGiM perlu segera ditubuhkan bagi memastikan lebih 1.2 juta penggiat ekonomi gig mendapat perlindungan sosial, hak upah yang adil dan saluran penyelesaian pertikaian sistematik.
“RUU ini bukan sekadar dokumen perundangan tetapi asas kepada pembentukan ekosistem ekonomi gig yang lebih inklusif dan berdaya tahan. SEGiM menjadi badan kawal selia nasional yang menyelaras semua aspek berkaitan pekerja gig,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khamis lalu, sektor ekonomi gig mencatat detik bersejarah apabila RUU Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti ahli Parlimen selepas tujuh tahun proses penggubalannya.
RUU yang mengandungi 112 fasal itu dibentangkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan diluluskan selepas dibahaskan oleh 23 ahli Parlimen mewakili blok kerajaan serta pembangkang.
RUU berkenaan memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu definisi pekerja gig, mekanisme penyelesaian pertikaian, penubuhan majlis tiga hala bagi menentukan isu pendapatan dan perlindungan keselamatan sosial.
Mohd. Sharkar berkata, SEGiM bukan sahaja berfungsi sebagai pusat advokasi dan kawal selia, malah berperanan penting dalam menyeimbangkan kuasa kapitalisme digital agar lebih adil serta beretika.
“Malaysia kini berada di barisan hadapan dunia dalam menangani isu-isu ekonomi gig secara holistik. SEGiM bukan hanya wacana tempatan, ia adalah pelan tindakan nasional.
“Kerajaan perlu bertindak pantas. Kita tidak boleh membiarkan penggiat gig terus berada di luar radar perlindungan undang-undang. SEGiM adalah jawapan kepada jurang ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas komitmen berterusannya dalam memperjuangkan nasib penggiat ekonomi gig di negara ini.
Menurutnya, Ahmad Zahid bukan sahaja menjadi penggerak utama dalam merangka dasar perlindungan sosial untuk pekerja gig, malah turut memainkan peranan penting dalam usaha penubuhan SEGiM yang bakal memperkukuh ekosistem ekonomi baharu itu.
Beliau berterima kasih dan merakamkan penghargaan kepada Steven Sim dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) atas usaha berterusan dalam merangka dan meluluskan RUU tersebut.
“MyGiG akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan pelaksanaan RUU ini memberikan impak sebenar kepada setiap pekerja gig di negara ini,” katanya.










