ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sekali lagi menolak pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden Pas pada pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan ke-71, pertengahan September ini.
Beliau memaklumkan hanya akan mempertahankan jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pusat bagi penggal 2025-2027.
“Saya tidak bertanding Naib Presiden, hanya akan bertanding jawatan AJK Pusat sahaja,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita pada Program Perarakan Bot Merdeka Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Muzium Negeri, hari ini.
Meskipun tidak mengulas lanjut sebab menolak pencalonan jawatan sama buat kali ketiga, namun diketahui ia selari dengan jawapan beliau sebelum ini iaitu mahu membiarkan tiga penyandang meneruskan tugas mereka dengan baik.
Pada pemilihan 2023 dan 2021, Menteri Besar Kedah itu turut menolak pencalonan tersebut walaupun sudah diumumkan layak setelah dicalonkan beberapa Kawasan Pas.
Pada 2023, beliau menerima undian tertinggi sebagai AJK Pusat dengan 1,098 undi.
Ketika ditemui media kelmarin, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu sudah memberi bayangan bahawa tidak akan merebut jawatan Naib Presiden Pas.
“Siapa yang sudah ada kebiasaan, dia biasa duduk situ dan buat kerja dengan baik teruskanlah. Tak ada persaingan atau perebutan apa.
“Sikap saya pun sama tak akan bersaing dengan sesiapa, terus terang tak ada yang tersembunyi dan tak ada yang tersirat,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi antara empat calon yang diumumkan layak bertanding jawatan itu bersama tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Datuk Idris Ahmad.-UTUSAN










