Kuching City FC berpuas hati kutip satu mata di Paroi

Kuching City FC berpuas hati kutip satu mata di Paroi

AKSI perlawanan Liga Super di antara NSFC dan Kuching City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan Kuching City FC berpuas hati dapat mencuri satu mata dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman di sini malam tadi.

Ketua jurulatih pasukan itu, Aidil Sharin Sahak berkata, sebelum perlawanan itu tiada siapa yang menjangka Kuching City FC akan menewaskan NSFC yang berada dalam momentum terbaik dengan sokongan padu penyokong.

Namun, katanya, pasukannya datang dengan objektif mencuri mata dan matlamat itu telah pun dapat dicapai.

“Secara keseluruhannya, kami adalah pasukan yang lebih baik. Pada separuh masa pertama kami bermain dengan baik dan mencipta peluang di hadapan gol lawan.

“Kami menunjukkan kualiti pada separuh masa kedua tetapi dalam bola sepak kita harus belajar bahawa perlawanan tidak berakhir sehingga wisel penamat ditiup,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

AIDIL SHARIN SAHAK

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan berkenaan.

Kuching City FC menjaringkan gol pertama melalui Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-7 sebelum Wanja Ronald Ngah menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-30.

NSFC bangkit pada minit ke-78 dengan gol Joseph Esso.

Ketika Kuching City FC hampir pasti mengutip tiga mata penuh, NSFC menjaringkan gol penyamaan melalui Nsue Etugu Luis Enrique ketika perlawanan memasuki masa tambahan.

Aidil Sharin namun menafikan pasukannya berasa rugi kerana terlepas peluang memenangi perlawanan itu dan membawa pulang tiga mata penuh.

“NSFC yang sepatutnya mengumpul tiga mata kerana mereka adalah tuan rumah tetapi kami memperoleh satu mata di rumah mereka.

“Ini adalah perkara yang positif untuk kami. Saya tidak mengambil negatif kerana kami tidak akan berkembang. Yang paling penting ia adalah mata yang berharga bagi kami,” ujarnya.

Beliau menegaskan, perlawanan itu adalah permainan yang sangat menarik untuk semua peminat bola sepak termasuk mereka yang menonton siaran langsung.

“Ia adalah perkara paling penting yang kita mahu lihat dalam bola sepak Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×