PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) percaya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) perlu dikaji secara teliti supaya benar-benar membawa manfaat holistik kepada semua rakyat dan komuniti yang terlibat.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun pembentangan RUU berkenaan penting demi pembangunan negara namun masih terdapat beberapa peruntukan yang perlu diperhalusi kerana berpotensi mengganggu hak autonomi negeri serta mengugat kestabilan komuniti.
Katanya, penilaian tersebut meliputi tahap persetujuan bagi projek pembaharuan, skop kuasa eksekutif serta penentuan nilai ambang yang boleh menjejaskan hak pemilik.
“BN menegaskan keperluan untuk memperluas rundingan bersama kerajaan negeri, penduduk asal serta pakar perancangan bandar agar suara rakyat dari semua lapisan dapat diambil kira.
“Pandangan BN menekankan bahawa sebarang transformasi bandar bukan sekadar soal pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga mesti adil, berimbang, dan selaras dengan prinsip Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, bacaan kali kedua RUU PSB 2025 sah ditangguhkan ke persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Dalam persidangan Dewan Rakyat semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming akur dengan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk pembacaan kali kedua tersebut disambung pada persidangan akan datang.
Menurut takwim Dewan Rakyat, mesyuarat ketiga bagi penggal keempat Parlimen ke-15 tahun 2025 akan bermula 6 Oktober dan berakhir pada 4 Disember. – UTUSAN










