SOALAN
Luaran saya nampak sihat tetapi dalaman saya bergelut dengan penyakit major depressive disorder (MDD)? Bagaimana mahu fahamkan rakan dan majikan tentang penyakit ini.
-Yang resah
JAWAPAN
MDD ialah gangguan mental yang memberi kesan kepada emosi, motivasi dan tenaga.
Situasi ini sering menyukarkan pesakit untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada rakan atau majikan.
Akibatnya, ramai yang memilih untuk berdiam diri demi kelangsungan hidup.
Berikut beberapa tip untuk panduan anda:
a)Tetapkan rutin harian – Senaraikan tugasan mudah untuk dilakukan pada setiap hari. Langkah ini bukan sahaja membina keyakinan diri, malah meningkatkan motivasi secara berperingkat. Rutin yang konsisten juga dapat membantu anda melalui hidup dengan lebih tenang.
b)Belajar teknik pernafasan – Apabila rasa tertekan atau hilang fokus, berhenti seketika dan tarik nafas secara perlahan sebanyak 3 hingga 5 kali. Anda juga boleh berjalan sebentar untuk mengalihkan tumpuan. Latihan pernafasan ini dapat membantu mengurangkan rasa cemas dan mengawal emosi menjadi lebih baik.
c)Berkongsi cerita – Pilih rakan sekerja atau penyelia yang memahami dan sudi mendengar luahan anda. Berkongsi perasaan bukan tanda lemah, sebaliknya ia membuka ruang untuk mendapatkan sokongan moral. Kadangkala, mereka juga boleh mempertimbangkan beban kerja anda atau memberi cadangan penyelesaian yang sesuai mengikut situasi yang dihadapi.
d)Sokongan profesional – Jangan ragu untuk mendapatkan rawatan atau menghadiri sesi kaunseling secara berkala. Jika tempat kerja anda menyediakan kaunselor atau pegawai sumber manusia, manfaatkan perkhidmatan itu tanpa rasa malu atau stigma. Sokongan profesional dapat membantu mengenal pasti punca tekanan dan mengatasinya.
e)Tetapkan sempadan – Belajar memisahkan masa kerja dengan peribadi. Elakkan membawa pulang tugasan atau membalas mesej pejabat di luar waktu kerja. Beri ruang untuk diri berehat dan lakukan aktiviti yang menenangkan agar tahap tenaga dan emosi dapat dipulihkan semula.
f)Jaga kesihatan – Pastikan tidur mencukupi, makan makanan berkhasiat dan melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan atau berzumba. Badan yang sihat membantu minda lebih fokus, mengurangkan keletihan berpanjangan dan meningkatkan daya tahan terhadap tekanan kerja.
MDD ialah gangguan kesihatan mental yang memerlukan sokongan majikan agar pesakit dapat terus berfungsi dan bekerja dengan lebih baik.









