DALAM era yang dipacu kemahiran dan persaingan global, pemilihan institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sekadar bergantung pada reputasi tetapi juga kemampuan graduan untuk memenuhi keperluan industri.
Dalam konteks ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah rangkaian Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) menjadi pilihan strategik bagi pelajar yang ingin membina masa hadapan cerah, stabil dan berkemahiran tinggi.
PolyCC menekankan pendekatan secara amali yang memberi pelajar pendedahan kepada teknologi dan peralatan sebenar industri. Sama ada dalam bidang kejuruteraan, hospitaliti, automotif, teknologi maklumat atau seni bina, pelajar diberi latihan di bengkel dan makmal yang lengkap menjadikan mereka lebih bersedia untuk dunia pekerjaan sebenar.
Pusat pengajian ini juga menampilkan pensyarah yang bukan sahaja berkelulusan tinggi, malah memiliki pengalaman industri yang luas. Ramai dalam kalangan mereka aktif dalam penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri, sekali gus menambah nilai kepada pembelajaran pelajar dari segi pengetahuan semasa dan amalan industri.
Program-program TVET PolyCC diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan profesional seperti Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan Lembaga Arkitek Malaysia. Kurikulum dibangunkan bersama industri untuk memastikan ia selari dengan kehendak pasaran kerja, menjadikan graduan lebih kompetitif dan mudah diserap oleh majikan.
Lebih 90 peratus graduan TVET PolyCC mendapat pekerjaan, menyambung pengajian atau menceburi bidang keusahawanan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Ini membuktikan TVET bukan lagi laluan kedua, malah pilihan utama untuk membina kerjaya yang stabil dan pelbagai.
Yuran pengajian di PolyCC sangat berpatutan, sekitar RM200 hingga RM500 setiap semester. Pelajar turut berpeluang memohon bantuan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) , zakat, biasiswa negeri, dan pelbagai bantuan kerajaan. Ini menjadikan pendidikan TVET lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat, terutama golongan B40 dan M40.
Pelajar boleh memulakan pengajian di peringkat sijil, naik ke diploma dan seterusnya ke ijazah sarjana muda melalui laluan yang jelas seperti program 2+2 atau kemasukan ke universiti teknikal (Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. (UMPSA). Malah, beberapa politeknik kini menawarkan program ijazah mereka sendiri.
PolyCC menyediakan kemudahan moden termasuk makmal, studio, perpustakaan digital, asrama dan akses internet. Aktiviti kokurikulum, pertandingan kemahiran, kelab pelajar dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut disediakan bagi membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
Dalam masa sama PolyCC menggalakkan pelajar menjadi usahawan melalui program seperti Siswa Niaga dan Inkubator Perniagaan. Pelajar dibimbing untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan berpotensi pasaran, serta diberi akses kepada agensi sokongan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tekun Nasional dan SME Corp.i
Latihan industri wajib selama satu semester membolehkan pelajar membina pengalaman dan jaringan kerja. Ramai pelajar ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian kerana hubungan erat PolyCC dengan sektor industri.
Pusat pengajian ini menyediakan bengkel kerjaya, latihan temuduga dan penulisan resume serta platform padanan kerja. Jaringan alumni yang luas turut memberi inspirasi kepada pelajar baharu, dengan ramai graduan kini memegang jawatan penting dalam pelbagai sektor atau menjadi usahawan berjaya.
Ini jelas bermakna TVET PolyCC bukan sekadar laluan alternatif tetapi merupakan jalan utama bagi mereka yang ingin membina kerjaya kukuh dalam dunia yang menuntut kemahiran tinggi.
Dengan pendekatan praktikal, pengiktirafan industri, kos mampu milik dan peluang kerjaya yang luas, PolyCC menjadi pilihan terbaik untuk melangkah ke masa depan dengan yakin.
Pendidikan bukan hanya tentang ijazah tetapi tentang mencipta masa depan. PolyCC Malaysia adalah tempat terbaik untuk bermula.-UTUSAN
MOHD KHAIRULAZMAN BIN ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korporat,
Politeknik Hulu Terengganu (PHT).










