Kubur Syamsul Haris akan digali secepat mungkin- Saifuddin Nasution

Kubur Syamsul Haris akan digali semula secepat mungkin- Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution ketika sidang akhbar selepas Majlis Penutup Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, akan digali secepat mungkin bagi proses bedah siasat kali kedua dijalankan. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak polis akan membantu memudahkan proses gali semula dilakukan susulan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. 

“Keputusan telah dibuat, macam juga kes adik Zara (Zara Qairina Mahathir), polis akan menyusul. 

“Ia satu proses yang serius sebenarnya, melibatkan majistret, pasukan perubatan, keluarga, polis, doktor.. semua terlibat. 

“Peranan polis bagi memastikan keputusan mahkamah dilaksanakan kita akan memudahkan (facilitate). Kita tidak perlu pertikai lagi dan ia akan dibuat (gali kubur) secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor, digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Katanya, proses menggali semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan. 

Dalam prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden. 

* Perintah untuk menggali keluar semula jasad Syamsul Haris Shamsudin, yang ditanam di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu bagi menjalankan bedah siasat kedua di bawah penyeliaan responden pertama iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu. 

* Suatu perintah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur iaitu patologi forensik untuk melakukan post-mortem (bedah siasat) semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jasad itu dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co. 

* Suatu perintah bagi pakar forensik yang menjalankan post-mortem itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh post-mortem dijalankan dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon iaitu Tetuan Naran Singh & Co. 

Sebelum ini, media melaporkan, Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, 29 Julai lalu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet PALAPES UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×