Rela mati daripada terima vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Rela mati daripada terima vaksin Covid-19

SEORANG warga emas ditemani anaknya menunggu untuk menerima vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan semalam. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Gara-gara terpengaruh berita tidak sahih disebarkan dari mulut ke mulut, ada golongan warga emas di negeri ini mengaku ‘rela mati’ daripada menerima suntikan vaksin Covid-19.

Mereka adalah sebahagian daripada 10,000 individu di Kelantan yang dilaporkan tidak hadir ke sesi pemvaksinan saat-saat akhir, biarpun telah berdaftar dan pada mulanya bersetuju untuk divaksin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beberapa individu berusia lingkungan 50-an hingga 80-an sekitar daerah ini, Tumpat dan Pasir Puteh memberitahu, mereka lebih banyak mendengar keburukan vaksin berbanding kebaikannya.

Seorang lelaki berusia lewat 50-an yang mahu dikenali Pak Do dari Melor di sini mendakwa, selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan, kes jangkitan pandemik bukannya semakin turun tetapi meningkat tinggi.

“Kemudian ada pula kejadian orang meninggal dunia selepas dicucuk vaksin. Jadi saya tidak benarkan semua ahli keluarga disuntik vaksin. Kalau ditakdirkan kami sekeluarga mati kerana Covid-19, saya rela.

“Bagaimanapun, saya nasihatkan keluarga supaya beringat, jaga diri dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya tak bawa virus Covid-19 ke rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Turut berkongsi pendapat sama, petani, Pak Leh, 68, dari Peringat di sini yang berkeras tidak sekali-kali membenarkan dirinya divaksin selepas terdengar ‘cakap-cakap’ orang kampung tentang mudarat dibawa vaksin sehingga membawa maut.

“Ada orang pernah ugut akan tangkap kalau saya tidak hadir sesi temujanji suntikan vaksin. Saya peduli apa, saya sudah tua. Kalau tak tangkap pun, kami warga emas sudah macam kena kurung kerana tidak boleh keluar ke mana-mana.

“Anak-anak saya ada juga pujuk supaya saya terima vaksin tapi saya tetap menolak sekeras-kerasnya,” katanya.

Jika Pak Leh dipujuk anak-anak supaya menerima vaksin, perkara sebaliknya berlaku kepada pesara kerajaan yang ingin dikenali sebagai Abe Loh, 70, yang pada mulanya bersemangat untuk divaksin namun berubah fikiran selepas dilarang anak-anak.

“Mengambil kira penyakit tiga serangkai yang ada pada saya, anak-anak bimbang vaksin itu memudaratkan saya,” katanya yang tinggal di Wakaf Bharu, Tumpat.

Turut ditegah mengambil vaksin oleh keluarga sendiri ialah suri rumah yang hanya ingin dikenali sebagai Siti Salmah, 78, yang tinggal di rumah salah seorang anaknya di Bukit Gedombak, Pasir Puteh.

“Apabila anak-anak dan saudara mara beritahu macam-macam cerita negatif tentang vaksin, hati pun jadi berbelah bahagi. Bukan saya seorang sahaja yang tukar fikiran, adik dan sepupu saya pun tak jadi pergi cucuk vaksin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, majoriti individu yang gagal hadir ke temu janji pemvaksinan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini meminta giliran mereka ditangguhkan ke sesi yang lain atas sebab kesihatan dan juga ada urusan tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas dan alasan diberikan kepada pihak jabatan, kira-kira 10,000 individu yang tidak hadir itu tidak boleh disimpulkan sebagai golongan yang menolak vaksin.

Walaubagaimanapun katanya, pihaknya memandang serius berkaitan penyebaran berita palsu mengenai vaksin Covid-19 yang diakui menjadi antara penyumbang kepada ketidakhadiran bakal penerima vaksin.

“Akibat terpengaruh dengan berita palsu, ada dalam kalangan anak-anak melarang ibu bapa mereka mengambil suntikan, jadi ramai golongan warga emas yang layak menerima vaksin terpaksa menangguhkan hasra,” katanya kepada pemberita di sini semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×