MELAKA: Pengurusan sesebuah persatuan sukan tidak boleh dipandang mudah kerana ia bukan sahaja berkaitan latihan atlet atau penganjuran kejohanan, sebaliknya melibatkan aspek pentadbiran serta dokumentasi yang wajib dipatuhi setiap tahun.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, Zailani Siran berkata, kegagalan menghantar laporan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKB) kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) boleh menyebabkan pendaftaran sesebuah persatuan dibatalkan, meskipun aktif di peringkat antarabangsa.
“Ramai hanya melihat kejayaan melalui pingat emas atau penyertaan luar negara, tetapi hakikatnya mengurus persatuan ibarat memandu kereta tanpa lesen.
“Boleh pergi jauh, tetapi akhirnya tetap disaman. Mesyuarat agung tahunan (AGM) mesti diadakan setiap tahun dan laporan MYKB dihantar walaupun penyata kewangan kosong, yang penting dokumen lengkap,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi 3rd Malaysia Age Group Finswimming Championships 2025 di Hotel Tamara di sini, baru-baru ini.
Dalam kejohanan di Pulau Pinang pada 25 hingga 27 Julai lalu, kontinjen Finswimming Melaka yang dibarisi 71 atlet berusia enam hingga 19 tahun muncul juara keseluruhan selepas mengutip 173 pingat terdiri daripada 78 emas, 47 perak dan 48 gangsa. – UTUSAN








