MELAKA: Polis sedang giat mengesan seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes khianat dengan api membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal di Taman Bukit Katil Permai, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.38 petang itu, kereta jenis Perodua Bezza dan Axia yang diletakan di garaj rumah hangus terbakar, manakala sebuah motosikal ditinggalkan dalam keadaan hangus di tengah jalan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati suspek meninggalkan motosikal yang terbakar itu di lokasi kejadian.
“Tiada saksi bebas berada di lokasi semasa kejadian berlaku, namun terdapat beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa yang boleh membantu siasatan.
“Anggaran kerugian masih belum dapat ditentukan kerana mangsa masih membuat pengesahan mengenai jumlah kerosakan dialami,” katanya kepada pemberita hari ini.
Christopher berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai khianat dengan api dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Polis kini giat mengesan suspek yang terbabit untuk membantu siasatan dan memastikan pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan,” tegas beliau. – UTUSAN










