SEGAMAT: Pihak berkuasa dan agensi berkaitan menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan daerah ini berada dalam keadaan selamat terutamanya kepada orang awam susulan gempa bumi awal pagi tadi.
Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Ezzuddin Sanusi berkata, sebaliknya sehingga kini, tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa yang diterima berlaku.
Katanya, Jawatan Pengurusan Bencana daerah Segamat melalui Pejabat Daerah Segamat menasihatkan penduduk daerah ini untuk kekal tenang susulan kejadian gempa bumi lemah itu.
“Orang awam diminta untuk bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian serta melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah Segamat melalui Pejabat Daerah Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Masyarakat dinasihatkan untuk mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan satu gempa bumi lemah telah berlaku di beberapa kawasan di daerah Segamat pada pukul 6.13 pagi tadi dengan kekuatan 4.1 Magnitud dengam gegaran turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan akan terus memantau keadaan berkenaan dari masa ke semasa.-UTUSAN










