Sistem perolehan tentera mesti telus

Sistem perolehan tentera mesti telus

ANWAR Ibrahim meninjau Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Nasional di Sendayan, semalam. Turut hadir, Mohamed Khaled Nordin dan Aminuddin Harun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan sistem perolehan pertahanan negara yang sering terpalit dengan skandal apabila tertinggal di belakang sedangkan dana besar telah dibelanjakan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu kerajaan mempunyai sistem perolehan telus selain perlu melibatkan kerjasama para pegawai tertinggi ketenteraan serta pakar teknikal.

Menurutnya, negara tidak ada satu sejarah yang sangat membanggakan dari segi teori perolehan, malah bukan hanya bidang ketenteraan, bidang lain pun sama.

Luahnya, perolehan kadang-kadang menjadi satu ruang dan kesempatan untuk ejen, syarikat mengambil keuntungan berlebihan melalui rasuah dan komisen.

“Kita ada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Langkawi. Apabila saya terima tabik hormat daripada semua negara dan pasukan tentera laut dunia yang menyertainya, saya rasa cukup tersinggung kerana sebagai negara yang mencatat pembangunan dan pertumbuhan yang membanggakan, perolehan kita sangat lemah walaupun belanja tinggi.

“Tetapi seperti mana yang kita tahu, baik kapal tempur pesisir (LCS) dan lain-lain, kapal tidak sampai, jadi bahan lucuan bertahun-tahun. Jadi saya mahu bagi peringatan, dan saya ucap terima kasih kerana Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Mesyuarat Jemaah Menteri menegaskan hal yang sama, iaitu mesti ada sistem perolehan yang telus,” katanya pada Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Nasional di MILDEF International Technologies Sdn. Bhd., Sendayan di sini, semalam.

Yang hadir sama Mohamed Khaled; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Urusan MILDEF International Technologies, Datuk Seri Mohd. Nizam Mohd. Kasa.

Beliau turut menekankan pentingnya perolehan kerajaan dilakukan secara telus dan berasaskan rundingan antara kerajaan (G2G), bagi mengelak ketirisan serta peningkatan kos tidak munasabah akibat campur tangan orang tengah atau ejen.

“Bila rundingan Perdana Menteri dengan Presiden, atau Menteri dengan Menteri, kos itu boleh turun. Tapi bila melalui ejen, kos itu melonjak tinggi,” katanya.

Perdana Menteri juga menyatakan kekecewaan mengenai tangkapan pegawai tentera yang terlibat dalam jenayah penyeludupan baru-baru ini.

“Paling akhir kita dengar tentang badan risikan. Walaupun masih terkawal dan Menteri dan Panglima bagi jaminan, saya terima baik tetapi negara seperti Malaysia tidak boleh mudah memaafkan badan risikan tentera terlibat dalam penyeludupan dan pengkhianatan.

“Saya tidak boleh bayangkan orang yang dilatih bekerja dengan penuh semangat, kegigihan dan pengorbanan pertahankan negara boleh melakukan kecurangan seperti ini. Bukan bermakna orang lain boleh, tetapi sepatutnya badan pertahanan kita itu patut ke depan, menjadi contoh yang baik, yang boleh dibanggakan. Ini hal-hal yang kita harus hentikan,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×