MELAKA: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka menolak politik kebencian yang didakwa dimainkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta menggesa DAP memutuskan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.
Ketua DAPSY Melaka, Cassel Krishnan berkata, isu Jalur Gemilang tidak wajar dijadikan modal politik murahan kerana ia hanya menyemai kebencian dalam masyarakat.
“Kesilapan kecil rakyat tidak boleh dijadikan alasan untuk menakut-nakutkan mereka daripada mengibarkan Jalur Gemilang.
“Jika benar mahu berlaku adil, Akmal sepatutnya turut menghentam kesilapan Pemuda UMNO Terengganu yang menyiarkan grafik bendera negara secara salah, bukan sekadar memohon maaf,” katanya.
Cassel berkata, tindakan Muhamad Akmal mendesak hukuman segera terhadap pihak lain kononnya atas nama patriotisme hanyalah retorik yang tidak menyumbang kepada keharmonian rakyat.
“Peranan seorang ADUN dan pemimpin pemuda politik adalah membina negara, memperkukuhkan dasar kerajaan serta menyemai semangat perpaduan, bukannya menanam rasa benci dalam masyarakat.
“DAPSY Melaka menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa budaya menghina, menghasut dan melampaui batas mesti dihentikan segera,” katanya.
Cassel berkata, mana-mana ahli politik yang menanam kebencian kaum dan agama tidak wajar diberi ruang dalam kerangka politik matang, justeru DAPSY Melaka menegaskan tiada alasan untuk Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerjasama dengan Muhamad Akmal. – UTUSAN










