KUALA LUMPUR: Lima kertas siasatan membabitkan isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi tindakan lanjut.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, setakat ini sebanyak enam kertas siasatan dibuka berhubung pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di seluruh negara.
“Sebanyak enam kes iaitu dua di Johor, Pulau Pinang (2) dan masing-masing satu kes di Selangor dan Negeri Sembilan.
“Daripada itu, lima kertas siasatan telah dikemukakan di AGC manakala satu lagi masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Tambahnya, pihak polis masih menunggu cadangan yang akan dikemukakan AGC untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menggesa semua pihak untuk tidak cuba menimbulkan suasana ketidakhrmonian susulan daripada kejadian yang berlaku.
“Di sini, saya ingin mengingatkan semua pihak agar sentiasa menghormati undang-undang serta menjaga keharmonian khususnya ketika negara bakal menyambut Hari Kebangsaan.
“Elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu-gugat keharmonian serta perpaduan antara kaum,” katanya.
Ujarnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan langkah-langkah penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batas undang-undang. – UTUSAN










