Bagi kebanyakan orang, haiwan seperti itik dan ayam hanya sesuai dijadikan sebagai ternakan yang boleh menyumbangkan sumber telur dan daging.
Namun, bagi Faeezah Noor Abdul Halim, 28, yang mempunyai seekor itik betina bernama Cici, bukan sahaja dijadikan sebagai teman untuk anak-anaknya bermain tetapi haiwan tersebut memberi simbol kasih sayang dan kebersamaan.
Pada mulanya, Faezah mengambil Cici dan seekor anak ayam untuk dihadiahkan kepada anak perempuannya. Namun, anak ayam tersebut tidak mempunyai umur yang panjang dan tinggallah Cici keseorangan dan tiada peneman.
“Kebetulan beberapa hari kemudian, saya membawa pulang anak-anak kucing ke rumah kami.
“Disebabkan anak-anak kucing tersebut lebih kurang sebaya dengan Cici yang pada ketika itu masih kecil, maka semuanya dibesarkan dalam satu tempat yang sama,” katanya kepada Seri.
Persahabatan luar biasa
Walaupun sifat semula jadi seekor itik berbeza dengan kucing, Cici tidak pernah berasa terasing. Malah, anak-anak kucing gemar bermain dan bermanja bersama dengannya.
Apabila anak-anak kucing berlari-lari kecil di halaman rumah, Cici akan cuba mengekorinya sambil menguak perlahan, seolah-olah mahu menyertai si bulus bermain.
Walaupun langkahnya agak perlahan berbanding si bulus yang lincah, kehadiran Cici sering membuatkan suasana menjadi lebih ceria.
Sejak kecil, Cici suka duduk rapat di sisi kucing kesayangan keluarga itu, seolah-olah mahu menumpang kehangatan badan.
“Cici juga gemar menyandarkan kepalanya pada seekor anak kucing kami bernama Oyen, manakala si bulus itu hanya membiarkan dengan tenang, seperti memahami kasih sayang yang ditunjukkan oleh si itik.
“Kalau kucing tengah baring, Cici akan datang rapat-rapat dan terus menyandarkan badannya. Nampak macam adik-beradik, walaupun jelas rupa mereka jauh berbeza,” katanya.
Selain itu, katanya, Cici lebih gemar makan nasi berbanding dedak yang biasanya diberikan kepada itik dek sudah terpengaruh dengan nasi yang diberi kepada anak-anak kucing yang lain.
Cici mungkin tidak sedar ia sebenarnya seekor itik dan rasa dirinya memang sebahagian daripada geng anak-anak kucing itu.
Rajin mandi
Air menjadi dunia kecil buat Cici. Setiap pagi, Cici akan dimandikan sebelum dilepaskan bebas di halaman rumah kampung.
Kata Faezah, itik manja itu gemar berendam dalam kolah kecil di luar rumah sambil berenang-renang sendirian.
Tambahnya, setiap kali Cici melakukan rutin harian wajibnya itu, anak-anak kucing yang lain hanya berani menjenguk dari jauh, menjadi penonton setia gelagatnya di dalam air.
“Ada kalanya, anak-anak saya akan turut membantu memandikan Cici dengan menyiramkan air menggunakan gayung kecil.
“Kadang-kadang, Cici menguak perlahan sambil mengepakkan sayapnya, menghasilkan percikan yang membuat anak saya ketawa riang,” katanya.
Selepas puas mandi, Cici akan keluar dari kolah dan berjalan perlahan di halaman untuk mengeringkan bulu sambil berjemur di bawah cahaya matahari pagi.
Justeru, bagi Faeezah, hubungan erat antara Cici, kucingnya dan anak-anaknya bukan sahaja unik, malah membuatkan halaman rumahnya sentiasa meriah saban hari.-UTUSAN










