PETALING JAYA: Kegiatan pusat perubatan estetik haram menawarkan khidmat rawatan gigi dengan berselindung di sebalik deretan lot kedai di Sri Petaling, di sini sejak tahun lalu terbongkar selepas dua ditahan.
Serbuan kira-kira pukul 10.40 pagi hasil aduan awam itu dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa Bahagian Kesihatan Pergigian dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama Balai Polis Sri Petaling.
Hasil tinjauan media yang mengikuti operasi itu mendapati kawasan luar premis tersebut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Bahkan, terdapat tiga bilik khas yang dipercayai digunakan oleh pelanggan untuk mendapatkan rawatan gigi selain bilik berlainan bagi khidmat perubatan estetik berkait kecantikan seperti memutihkan kulit serta suntikan botox.
Setiap bilik menempatkan katil selain pelbagai alatan mesin, ubatan, peralatan suntikan dan lain-lain.
Semasa serbuan, terdapat dua pelanggan yang sedang mendapatkan rawatan pergigian.
Pegawai Penguatkuasa Pergigian Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Vivegan Doraisamy berkata, dua wanita termasuk seorang warga Indonesia berusia 27 dan 37 tahun telah ditahan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pusat kecantikan itu telah menawarkan perkhidmatan pergigian dan perubatan estetik yang hanya boleh dijalankan di Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Suspek dikatakan mempromosikan perkhidmatan mereka di media sosial Instagram merangkumi khidmat sarung gigi (veneer) yang hanya boleh dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.
“Selain itu, pusat kecantikan itu turut menawarkan rawatan perubatan estetik seperti ‘filler’, ‘botox injection’ dan lain-lain rawatan estetik yang hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia serta ditauliahkan dengan Letter of Credentialing & Privileging (LCP) of Aesthetic Medical Practice oleh KKM,” katanya di sini.
Katanya, harga rawatan di antara RM4,000 sehingga RM12,000 bergantung pada jenis pakej yang diambil pelanggan.
Katanya, kedua-dua wanita itu akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan sebuah klinik pergigian dan klinik perubatan swasta tanpa perakuan pendaftaran yang sah.
“Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 [Akta 804] kerana disyaki menjalankan amalan pergigian tanpa berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia,” ujarnya.
Tegas Vivegan, KKM menasihatkan orang awam untuk mendapatkan rawatan dari pengamal perubatan atau pengamal pergigian yang sah dan mempunyai kelayakan yang bersesuaian.
“Ini bagi menjamin keselamatan serta kualiti perkhidmatan rawatan yang terbaik selain mencegah sebarang komplikasi yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN










