Sindiket edar syabu RM13.6 juta didalangi warga emas tumpas

Sindiket edar syabu RM13.6 juta didalangi warga emas tumpas

Dadah warga emas
HUSSEIN Omar Khan menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM13.6 juta dalam empat serbuan serentak di sekitar Puchong dan Kuala Lumpur, pada sidang akhbar dekat IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa didalangi seorang lelaki warga emas tumpas selepas dicekup bersama empat suspek dengan rampasan syabu bernilai RM13.6 juta, kelmarin.

Sindiket yang bergiat aktif sejak dua bulan lalu itu dipercayai bukan saja mensasarkan pasaran Lembah Klang malah Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Bagi mengaburi pihak berkuasa, sindiket itu menyewa rumah teres untuk dijadikan sebagai stor simpanan selain menggunakan bungkusan isi durian kering dan teh Cina.

Bagaimanapun, helah suspek tempatan berusia 64 tahun itu dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang membuat risikan selama tiga bulan sebelum empat serbuan serentak dilakukan dekat premis di sekitar Puchong dan ibu negara sekitar pukul 11.40 pagi hingga 12.40 tengah hari.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama melibatkan seorang suspek yang ditahan di parkir sekitar pusat bandar Puchong dengan penemuan syabu seberat 103.8 kilogram (kg).

“Ia kemudian membawa kepada tangkapan dua suspek masing-masing di tepi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan sebuah restoran di Puchong Jaya.

“Penahanan itu seterusnya menemukan syabu di dua rumah berasingan dengan rampasan lebih 321kg dadah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Jelasnya, serbuan terakhir melibatkan suspek utama yang juga koordinator sindiket itu di kawasan parkir LRT Sri Petaling.

“Keseluruhan dadah dirampas seberat 425 kg dan mampu merosakkan seramai 2.1 juta penagih. Polis turut menyita aset berjumlah RM133,000 antaranya tiga kenderaan, dua jam tangan, lima rantai leher dan wang tunai RM3,950,” ujarnya.

Hussein berkata, kelima-lima suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk tiga individu yang pernah ditahan di bawah Seksyen 39B. Suspek antaranya bertindak sebagai transporter dan penjaga stor simpanan dadah sindiket berkenaan,” katanya.

Tambah Hussein, siasatan lanjut mendapati sindiket itu mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket antarabangsa dan memburu individu lain bagi membantu siasatan.

“Kita percaya masih ada individu lain di peringkat lebih atas yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan. Bekalan dadah sindiket itu dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum dijual kepada sindiket lain terutama di sekitar Lembah Klang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×