MBSB Bank pacu tenaga bersih, sedia RM1.3b pembiayaan

MBSB Bank pacu tenaga bersih, sedia RM1.3b kemudahan pembiayaan Islam kepada Cypark

WAN Kamaruzaman Wan Ahmad (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Rafe Haneef (tengah) dan Abdul Wahid Omar (kiri) semasa majlis memeterai Kemudahan Pembiayaan Islam berjumlah RM1.3 billion tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) memeterai Kemudahan Pembiayaan Islam berjumlah RM1.3 bilion kepada Cypark Resources Berhad (Cypark), sekali gus mengukuhkan menegaskan peranan bank tersebut dalam menerajui peralihan tenaga bersih negara.

Kemudahan tersebut yang merangkumi pembiayaan semula dan modal kerja dirangka untuk mengukuhkan struktur modal Cypark, mengoptimumkan aliran tunai serta menyediakan kapasiti strategik bagi pertumbuhan. 

Dalam pada itu, Cypark turut akan menempatkan dana ke dalam Sustainable Term Deposit-i pertama MBSB Bank iaitu produk deposit yang menyalurkan dana terus kepada projek-projek yang berkaitan dengan kelestarian alam sekitar dan sosial.

Pengerusi Kumpulan MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, kemudahan ini merupakan satu mercu tanda dalam transformasi kami sendiri apabila kami menyelaraskan kewangan Islam dengan matlamat tenaga negara. 

“Dengan memadankan modal kepada aset tenaga boleh diperbaharui jangka panjang, kami turut membentuk masa depan tenaga bersih Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Cypark merupakan penyedia tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan alam sekitar yang bersepadu di Malaysia. 

Syarikat ini diiktiraf melalui projek perintis dalam tenaga solar, biogas serta loji jana kuasa daripada sisa pepejal, termasuk fasiliti SMART Waste-to-Energy pertama di negara ini. 

Dengan kapasiti tenaga boleh diperbaharui berjumlah 400 megawatt, Cypark memainkan peranan penting dalam hala tuju nyah karbon Malaysia serta pengurangan pelepasan karbon negara. 

Tambah kenyataan itu, usaha ini turut mewakili satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan transformasi Cypark 2.0 iaitu strategi untuk memperkukuh asas kewangan, meningkatkan kecekapan operasi dan mempercepatkan pertumbuhan tenaga bersih.

Menerusi pembiayaan ini, MBSB Bank akan membiayai semula aset tenaga boleh diperbaharui sedia ada milik Cypark, meliputi projek tenaga solar dan jana kuasa daripada sisa pepejal.

Pengerusi Cypark Resources, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pembiayaan semula ini mengurangkan satu daripada pendedahan kewangan utama kumpulan dan meletakkan syarikat pada landasan untuk mencapai pertumbuhan mampan, di samping mengoptimumkan pulangan kepada pemegang saham. 

“Kami menghargai MBSB Bank bukan sahaja sebagai pemberi pembiayaan tetapi juga sebagai rakan strategik yang berkongsi visi kami terhadap ekonomi rendah karbon untuk Malaysia. 

“Keyakinan mereka terhadap keupayaan kami serta komitmen kepada agenda peralihan tenaga negara telah menjadi faktor penting dalam menjayakan pencapaian ini.

“Kumpulan menantikan kerjasama rapat dengan MBSB Bank untuk membangunkan penyelesaian kukuh bagi membekalkan tenaga boleh diperbaharui yang stabil ke grid,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×