PETALING JAYA: Mesyuarat rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadualkan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 12 September depan bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
“Banyak isu yang sudah diluluskan dan terdapat isu lain yang masih dalam perbincangan untuk diluluskan.
“Ini termasuk isu penggunaan Bahasa Inggeris di Sarawak dalam konteks dasar Pendidikan. Subjek seperti sains dan matematik sudah menggunakan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah.
“Ia menjadi masalah apabila di sekolah menengah (Sarawak) menggunakan Bahasa Melayu. Jadi, kita cuba selesaikan masalah itu,” katanya selepas merasmikan Sesi Dialog Belanjawan 2026 di sini, hari ini.
Sesi dialog itu diadakan bagi memastikan penyediaan dokumen Belanjawan 2026 melibatkan Kementerian Perpaduan Negara bersifat terangkum, menyeluruh dan mengambil kira pandangan semua lapisan masyarakat.
Mesyuarat MA63 adalah platform utama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah serta Sarawak untuk menyemak semula pelaksanaan hak-hak negeri di bawah perjanjian pembentukan Malaysia.
Setakat September tahun lalu, sebanyak 11 tuntutan rundingan MA63 berjaya diselesaikan termasuk isu penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas dan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN











