DALAM era digital masa kini, banyak pihak mengagumi kecekapan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan robotik dalam mempercepatkan urusan harian. Namun, timbul persoalan besar, adakah teknologi ini mampu memperkukuh integriti perkhidmatan awam atau hanya mempercepatkan kecuaian, ketirisan dan rasuah jika tiada kawalan?
Sebagai pemerhati yang proaktif, Pemerhati Rasuah Malaysia, (MCW) berpendirian teknologi tidak seharusnya menggantikan peranan manusia secara membuta tuli. Sebaliknya, ia perlu menjadi pelengkap kepada integriti manusia. Justeru, MCW mengemukakan satu konsep baharu yang dinamakan Integriti 5.0, iaitu gabungan kecerdasan manusia (HI), AI dan hab maklumat pintar untuk membina ekosistem tadbir urus yang telus, efisien serta beretika.
TEKNOLOGI BUKAN PENGGANTI NILAI MANUSIA
AI mampu menjawab soalan, memproses data dan mengesan pola tingkah laku. Tetapi ia tidak mampu membuat penilaian moral, memahami konteks sosial atau menyaring niat seseorang. Dalam isu rasuah, ini sangat kritikal. Rasuah lazimnya berlaku secara halus, menggunakan bahasa kiasan, hubungan peribadi atau tekanan psikologi – perkara yang hanya manusia beretika dapat tangani.
Sebagai contoh, robot di kaunter perkhidmatan mungkin efisien dalam menerima dokumen tetapi tidak mampu mengenal pasti pelanggan yang cuba memintas prosedur secara tidak sah. Sistem AI boleh menjalankan arahan tetapi tidak memiliki nilai budi bicara atau kepekaan terhadap niat manusia.
HI: ASAS PERTAHANAN INTEGRITI
HI merujuk kepada keupayaan manusia untuk membuat keputusan berdasarkan ilmu, nilai dan prinsip moral. Pegawai yang berintegriti ialah benteng utama melawan salah guna kuasa. Namun, HI juga perlu dilengkapi dengan alat pemantauan, sokongan teknologi dan sistem amaran awal agar keberkesanannya tidak tergugat oleh tekanan luaran.
MCW berpandangan pendekatan yang terbaik ialah gabungan HI dan AI. Teknologi digunakan untuk mengurangkan ruang manipulasi data dan mempercepatkan proses, manakala manusia menjadi pengimbang etika dan akhlak dalam membuat keputusan.
HAB MAKLUMAT PINTAR: NADI INTEGRITI MASA HADAPAN
Konsep ketiga dalam Integriti 5.0 ialah penubuhan sebuah hab maklumat pintar yang berperanan mengumpul, menganalisis dan menyebarkan maklumat berkenaan integriti dan tingkah laku sektor awam serta swasta.
Fungsi utama hab maklumat pintar ini termasuk:
– Pemantauan masa nyata terhadap sistem perkhidmatan kerajaan.
– Pengesanan corak risiko rasuah seperti kelulusan tergesa-gesa, bayaran luar waktu kerja atau penggunaan sistem yang tidak sah.
– Sokongan keputusan data-berasaskan risiko untuk pegawai kanan.
– Sistem amaran awal kepada pihak atasan sekiranya dikesan sebarang anomali atau tingkah laku luar kebiasaan.
Dengan adanya pusat seperti ini segala maklumat berkaitan penyampaian awam akan dikawal, dipantau dan diaudit secara profesional serta berterusan, bukan bergantung kepada laporan manual semata-mata.
EMPAT TIANG INTEGRITI 5.0
Model Integriti 5.0 yang dicadangkan MCW bertunjangkan empat elemen utama:
– HI: Pegawai yang mempunyai integriti, dilatih secara berkala dan dipantau melalui etika kerja berasaskan nilai.
– AI: Teknologi yang membantu mempercepat proses dan memberi maklumat analitik untuk membuat keputusan.
– Hab maklumat pintar: Pusat kawalan yang menganalisis semua data dan corak tingkah laku untuk mengesan risiko dan menyalurkan maklumat.
– Audit Sosial Awam: Penglibatan rakyat sebagai pemantau perkhidmatan awam melalui sistem maklum balas dan penilaian terbuka.
Empat komponen ini jika digabung secara strategik akan melahirkan sistem penyampaian awam yang cekap, bersih dan berdaya tahan daripada sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.
PACU PERUBAHAN
Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang komited dalam memperjuangkan Malaysia bebas rasuah, MCW bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi juga penggerak perubahan. Dalam konteks Integriti 5.0, MCW bersedia untuk:
– Membangunkan modul latihan HI + AI untuk penjawat awam, pelajar universiti dan pemimpin muda.
– Bekerjasama dengan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dalam membentuk dasar penggunaan teknologi secara berintegriti.
– Melaksanakan projek perintis di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) berisiko tinggi.
– Menjadi pemantau bebas terhadap sistem digital kerajaan agar tidak disalah guna.
CABARAN DAN PENYELESAIAN
MCW akui pelaksanaan sistem sebegini bukan mudah. Antara cabaran utama ialah:
– Kos permulaan untuk membangunkan AI dan hab maklumat pintar.
– Isu keselamatan siber dan perlindungan data peribadi.
– Ketakutan atau penolakan pegawai terhadap sistem pemantauan pintar.
– Kekangan undang-undang berkaitan pengumpulan dan penggunaan data secara automatik.
Namun begitu, cabaran ini bukan alasan untuk terus bergantung kepada sistem tradisional yang terbukti longgar dan mudah dimanipulasi.
Antara saranan MCW ialah:
– Peruntukan khas Belanjawan bagi projek pemantapan integriti digital.
– Penubuhan satu Unit Integriti Digital Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri.
– Pelaksanaan dasar Etika AI dan Sistem Lapor Salah secara pintar serta rahsia.
MASA HADAPAN TADBIR URUS MALAYSIA
Negara yang berjaya bukan sahaja dinilai melalui infrastruktur dan kemajuan ekonomi tetapi juga tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan. Jika rakyat yakin sistem ini bersih dan telus, mereka akan lebih menyokong dasar kerajaan dan lebih bersedia menjadi sebahagian daripada penyelesaian.
MCW percaya masa hadapan negara hanya akan utuh jika kita berjaya menggabungkan nilai HI, teknologi AI, dan hab maklumat pintar dalam satu ekosistem tadbir urus yang bersih, cekap serta diyakini.
Integriti 5.0 adalah lebih daripada sekadar konsep digital. Ia adalah visi baharu ke arah Malaysia yang bukan sahaja pintar tetapi juga beramanah. Gabungan akal manusia, algoritma dan amanah ini bakal menentukan sama ada kita benar-benar serius untuk membina negara bebas rasuah atau sekadar menukar kulit sistem tanpa menyentuh intinya.
Integriti bukan terletak pada teknologi tetapi bagaimana kita menggunakannya dengan jujur.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).











