PENDUDUK dunia sudah melebihi 8 bilion. Begitu juga jumlah penduduk Malaysia pada hari ini yang semakin meningkat. Peningkatan ini selari dengan peningkatan keperluan dan permintaan ke atas makanan. Oleh itu, perlu ada jaminan bekalan makanan sepanjang masa.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), terdapat empat komponen yang menjadi tunjang kepada jaminan makanan iaitu ketersediaan makanan, capaian makanan, penggunaan makanan dan kestabilan makanan.
Malaysia menghadapi cabaran seperti kebergantungan kepada import makanan, perubahan iklim, peningkatan kos pengeluaran dan gangguan rantaian bekalan. Bagi menangani isu ini, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Dasar Agromakanan Negara, galakan pertanian moden dan sokongan kepada petani tempatan bagi meningkatkan pengeluaran domestik dan mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Usaha bersepadu antara kerajaan, sektor swasta dan pengguna penting untuk menjamin keterjaminan makanan jangka panjang di Malaysia.
Kita berada di persimpangan kritikal. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pernah berkata, banyak hasil pertanian masih belum mencapai kadar sara diri (SSR) 100 peratus bagi 2021. Sekarang kita berada pada tahun 2025.
Antara sayur-sayuran dan buah-buahan yang belum mencapai 100 peratus SSR ialah cili (29.3 peratus), halia (14.6 peratus), kubis (40.3 peratus), mangga (16.2 peratus) dan kelapa (69.6 peratus).
Negara perlu merangka dasar lebih padu bagi memastikan keterjaminan makanan jangka pendek dan jangka panjang.
Malaysia negara subur tetapi mengimport produk makanan termasuk benih tumbuhan dengan nilai amat besar dan menelan kos hampir RM70 bilion setahun.
Selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran terpilih SSR dan pertumbuhan sumbangan nilai ditambah sektor agromakanan untuk mengukuhkan keterjaminan makanan.-UTUSAN
N V SUBBAROW
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










