Tun M saman PM mahu cepat bersih nama

Tun M saman PM mahu cepat bersih nama

Saman
DR. Mahathir Mohamad ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding tuntutan saman terhadap Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tun Dr. Mahathir Mohamad memohon kes saman fitnah RM150 juta difailkannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercepatkan kerana mahu segera membersihkan namanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kes berkenaan tertangguh terlalu lama sejak 2023, namun Anwar sebelum ini meminta penangguhan selama dua minggu dan beliau bersetuju.

“Tetapi kini ia sudah dua tahun dan perbicaraan hanya akan berlangsung pada 21, 23 dan 29 Oktober depan.

“Saya tiada masalah dengan tarikh itu tetapi kalau boleh, saya mahu ia dipercepatkan. Saya sudah lama menunggu (perbicaraan ini) dan terlalu berusia,” katanya pada sidang akhbar selepas prosiding pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, beliau berasa perlu untuk menghadiri kerana Pesuruhjaya Kehakiman baharu yang akan mendengar kes tersebut masih belum biasa dan saya rasa beliau perlukan masa untuk menelitinya,” katanya.

Terdahulu, mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman itu dijalankan selama tiga hari mulai 21 Oktober depan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin memutuskan demikian selepas meneliti permohonan kedua-dua pihak bagi penangguhan tarikh bicara terdahulu pada esok dan lusa.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu memberitahu bahawa pihaknya belum menerima arahan berkaitan penyata saksi kes selain isu mengenai fakta dan perkara tidak diselesaikan termasuk dokumen tambahan lain.

Prosiding pengurusan kes secara fizikal yang terakhir pada 7 Oktober manakala perbicaraan ditetapkan pada 21, 23, 29 Oktober depan.

Pada 3 Mei 2023, Dr. Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan ketika Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme di Shah Alam, 18 Mac tahun sama.

Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Anwar selaku defendan tunggal mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah bagi menjatuhkan reputasinya sebagai negarawan dan bekas Perdana Menteri.

Ia termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk anak dan keluarganya selain memberi layanan khas atau mengutamakan individu berpangkat tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×