KOTA BHARU: Pengendali Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW), E. Elavarasan optimis anak buahnya mampu memberi saingan sengit apabila melayani kunjungan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
Beliau berkata, KL City merupakan sebuah pasukan yang bagus serta berpengalaman dan sudah tentu mereka akan menjadi sebuah pasukan yang sukar dihadapi atau ditundukkan oleh mana-mana lawan.
“Setiap pasukan pasti mahu menang serta mara ke peringkat seterusnya dan sudah tentu di atas kertas atau berdasarkan penilaian kualiti, KL City dilihat pasukan yang lebih baik berbanding Kelantan TRW.
“Tetapi malam esok kita akan turun selaku tuan rumah dan mereka (KL City) bermain sebagai pelawat. Siapa tahu kalau-kalau boleh berlaku ‘upset’ atau perkara di luar dugaan sebab macam-macam boleh jadi dalam saingan Piala FA,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Elavarasan tidak mahu membuat sebarang ramalan siapa akan keluar sebagai pemenang dan menyeru penyokong ke stadium untuk melihat persembahan pasukan masing-masing.
Ditanya mengenai sasaran untuk Kelantan TRW dalam kempen Piala FA musim ini, Elavarasan sekadar menyatakan setiap pasukan bertanding pasti mempunyai sasaran tersendiri dan kesemuanya pasti mahu mara sejauh mana yang boleh.
“Saingan Piala FA adalah lebih terbuka secara keseluruhannya dan sukar untuk meramal pasukan mana bakal mara ke peringkat seterusnya dan menjulang salah satu piala berprestij dalam Liga Malaysia itu.
“Namun kebiasaannya pelbagai kejutan boleh berlaku dalam saingan ini dan kadangkala pasukan dengan ranking lebih tinggi tidak layak mara ke perlawanan akhir,” katanya.-UTUSAN











