Tiada siapa akan terlepas siasatan kes Zara Qairina - PM

Tiada siapa akan terlepas siasatan kes Zara Qairina – PM

ANWAR Ibrahim memberi minum susu kepada anak lembu ketika hadir pada Karnival Usahawan Tenusu Madani Memacu Revilusi Pertanian Modem Menjana Ekonomi Rakyat di Kompleks Tenusu Farm Fresh, Larut, Perak, semalam. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tiada sesiapa yang terbabit dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13, akan terlepas daripada siasatan dan tindakan undang-undang.

Perdana Menteri berkata, siasatan kes kematian pelajar sekolah agama di Papar itu harus dijalankan tanpa mempedulikan siapa yang terlibat.

Anwar memberi jaminan siasatan akan dilakukan secara terperinci dan tidak mahu pelbagai tuduhan liar dilemparkan terhadap kes itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seorang budak meninggal dunia, maki hamun semua orang. Anak VIP (orang kenamaan), cucu Tuan Yang Terutama (TYT).

“Saya kata kepada polis untuk siasat. Saya sudah beritahu, tidak peduli siapa,” katanya semasa berucap ketika mengunjungi kompleks tenusu syarikat Farm Fresh sempena Karnival Usahawan Tenusu Madani di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada 9 Ogos lalu, kubur remaja berkenaan digali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan kembali.

Kes kematian pelajar itu mencetuskan kontroversi dan spekulasi mendakwa kononnya ada cubaan untuk melindungi pihak tertentu selain dikatakan siasatan tidak dijalankan mengikut prosedur.

Selepas majlis, Perdana Menteri meninjau projek pembinaan jalan baharu dari Kamunting ke Anak Kurau, Larut Matang Selama (LMS) Fasa Dua, di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Projek yang diluluskan pada 2016 dengan kos RM91 juta ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia secara konvensional dan membabitkan pembinaan jalan baharu sepanjang 6.6 kilometer.
Ia dijangka memanfaatkan lebih 5,000 penduduk, memberi impak positif kepada sektor pertanian dan perusahaan ladang serta meningkatkan aksesibiliti, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Setakat ini, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 15 Ogos 2026 telah mencapai 70.5 peratus kemajuan, melebihi jadual asal 62.6 peratus dan mendahului jadual sebanyak 59 hari.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, hubungan baik Malaysia dengan negara-negara lain menyediakan peluang buat peniaga dan usahawan tempatan untuk menerokai pasaran luar.

Menurut Anwar, peranan negara menyelesaikan perbalahan Thailand-Kemboja baru-baru ini antara contoh tindakan yang menaikkan imej Malaysia.

“Apabila ada perbalahan, peperangan di antara Kemboja dengan Thailand. Susu Thailand tak boleh masuk ke Kemboja, susu Farm Fresh (syarikat Malaysia) telah masuk ke Kemboja.

“Kerana hubungan kita dengan Thailand dan Kemboja baik, beritahu bila nak bawa, buka ladang di sana, kita (kerajaan) akan bagi kerjasama sepenuhnya. Itu manfaat berkawan dengan negara-negara luar ini.

“Banyak orang kadang-kadang di Parlimen dia singgung. Tidak mengapa, kita tahu manfaatnya (berbaik dengan negara asing),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini