Mengembalikan legasi ilmuwan Islam

Mengembalikan legasi ilmuwan Islam

PARA pembentang kertas kerja dan peserta kolokium bersama-sama Kamarudin Md. Noor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ilmuwan Islam adalah tokoh ketamadunan sepanjang zaman yang diingati dan layak dicontohi oleh generasi terkini.

Dunia tidak pernah melupakan sumbangan-sumbangan para tokoh ketamadunan Islam dalam pelbagai bidang ilmu seperti Al-Biruni (Astronomi), Al-Ghazali (Falsafah), Ibn Battuta (Geografi), Prof. Dr. Abdus Salam (Fizik), Tok Selehor@Selehong (Tasawuf) dan Syaikh Daud Al-Fatani (Fiqh).

Tokoh-tokoh hebat ini telah meninggalkan legasi keilmuan yang sangat berharga kepada dunia kontemporari dan sewajarnya ia dikembalikan melalui inisiatif perkongsian ilmu yang bermanfaat kepada generasi era semasa.

Bertitik tolak daripada kesedaran itu, Kerajaan Negeri Kelantan, bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Gabungan Penulis-Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK), menganjurkan Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 2.0, baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK), Kota Bharu, Kelantan ini dihadiri oleh hampir 200 peserta yang bersemangat untuk menimba mutiara ilmu yang terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, pendidik, penulis, pegawai sektor kerajaan dan swasta dan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Noor, merasmikan kolokium tersebut.

Kata beliau, usaha seumpama ini selari dengan visi Kerajaan Negeri Kelantan untuk membina masyarakat yang berilmu dan progresif.

Penganjuran kolokium ini, yang merupakan kesinambungan daripada Kolokium Tokoh-Tokoh Ketamadunan Islam 1.0 pada 2024, menunjukkan komitmen badan bukan kerajaan (NGO) seperti

GEMA dalam menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap kolokium ini dan percaya penganjurannya adalah pelaburan jangka panjang untuk pembangunan modal insan.

Ini kerana, pendedahan kepada tokoh-tokoh ini amat penting untuk membentuk jati diri insan yang cemerlang.

Hal itu dapat ditranskripsikan dalam dua sesi pembentangan pada kolokium tersebut.

 

 

 

Sesi pertama membentangkan Teori Interaksi Elektrolemah yang dirumuskan oleh Prof. Dr. Abdus Salam iaitu Muslim pertama yang memenangi Hadiah Nobel Fizik pada 1979, karya Rihlah oleh Ibnu Battuta yang bukan sahaja merekodkan geografi dan budaya namun turut membina jaringan ilmu merentasi wilayah Islam dan kebijaksanaan Al-Biruni dalam mengukur jejari dan lilitan bumi dengan ralat kurang daripada 1 peratus berbanding nilai moden menggunakan prinsip trigonometri yang mengukur ketinggian gunung dan sudut tunduk ufuk dari puncaknya.

Sementara itu, sesi pembentangan kedua dimulai dengan perkongsian tentang seorang tokoh di Bumi Serambi Mekah, Kelantan iaitu Tok Selehor dalam bidang pendidikan dengan menubuhkan institusi pondok, memperjuangkan amalan tasawuf dan memperkenalkan perarakan Maulidur Rasul di Kelantan.

Pemikiran Al-Ghazali menyusul dengan perbincangan tentang kecerdasan hati (Qalb Intelligence) yang berperanan sebagai kompas etika kepada kawalan kecerdasan emosi (EI) dan kecerdasan buatan (AI) untuk kekal dalam jalur kebenaran.

Sesi tersebut diakhiri dengan menyoroti kehebatan intelektual dan kepujanggaan Syaikh Daud Al-Fatoni sebagai seorang ulama Melayu terkemuka yang telah menghasilkan lebih daripada 40

karya termasuklah Munyat al-Musalli dan terjemahan Minhaj al-Abidin yang menjadi teks rujukan utama dalam pengajian pondok di Nusantara.

Kolokium ini menampilkan pembentang jemputan yang membincangkan sumbangan penting tokoh-tokoh Islam tersebut.

Antaranya, Datuk A. Aziz Deraman, tokoh budayawan negara, membentangkan tentang Syaikh Daud Al-Fatani (1769-1847).

Prof. Madya Dr. Nur Azuki Yusoff dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pula membincangkan sumbangan dan ketokohan Tok Selehor@Selehong.

Tokoh lain yang turut dibentangkan termasuklah Al-Ghazali oleh Prof. Madya Dr. Aila Abdul Latif dari Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Ibn Battuta oleh Dr. Muhamad Fadzil Yusoff dari Institut

Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu, Prof. Dr. Abdus Salam oleh Dr. Miqdad Aswad Ahmad dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Dr. Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan

Kechik dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) membentangkan kertas kerja mengenai Al-Biruni.

Kesemua kertas kerja daripada pembentang ini dikumpulkan dan diterbitkan di dalam Buku Prosiding Kolokium Tokoh-Tokoh Ketamadunan Islam 2.0.

Buku prosiding ini diterbitkan oleh GEMA tahun ini dan ia diharap dapat menjadi rujukan dan pemangkin kepada pencarian ilmu yang lebih mendalam dalam kalangan generasi baharu.

Dalam pada itu, Ketua 1 GEMA, Zainal Abidin Muhamad melahirkan rasa syukur atas penganjuran kolokium itu di samping bangga atas penerbitan buku prosiding yang disifatkan sebagai mercu tanda penting bagi GEMA dan anak muda Kelantan yang dahagakan ilmu.

Beliau berharap, program ini dapat menginspirasi generasi muda untuk meneruskan legasi kecemerlangan Islam.

Acara ini diakhiri dengan pengumuman pemenang kuiz dalam talian dan penganjuran Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 3.0 telah disahkan untuk tahun 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×