Umat Islam jangan hanya jadi penonton budaya ‘songsang’

Umat Islam jangan hanya jadi penonton budaya ‘songsang’

ABU HUSAIN RADZAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARUS pemikiran liberal dan kebebasan tanpa batas semakin melebar pengaruhnya. Ia kini merentasi media sosial, filem, lagu dan suara-suara antarabangsa yang mendakwa memperjuangkan hak asasi manusia.

Inilah ujian fitrah di akhir zaman. Ujian yang tidak hanya menyerang akhlak tetapi turut menggugat akidah manusiawi.

Bukan setakat pengaruh budaya kuning malah melibatkan tata susila kehidupan bertentangan fitrah kemanusiaan seperti yang disuarakan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) mutakhir ini.

 

USTAZ ABU HUSAIN RADZAI
Usia: 40 tahun
Asal: Kampung Kelubi, Pasir Puteh, Kelantan
Pendidikan:
• Diploma Dakwah Islamiah Kolej Islam
Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kota
Bharu
• Ijazah Sarjana Muda bidang Dakwah Islamiah Universiti Al-Azhar, Mesir
Tugasan hakiki: Imam Tua Masjid Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan.

 

Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Imam Tua Masjid Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Ustaz Abu Husain Radzai berkata, kebelakangan ini, suara tanpa landasan wahyu sudah bergema lantang kononnya sebagai perjuangan menuntut hak asasi manusia.

“Ada yang mengangkat budaya songsang ini sebagai hak peribadi dan memaksa masyarakat menerimanya. Sedangkan larangan berkait sudah tersurat dalam al-Quran .

“Lebih mengecewakan, ada umat Islam terpedaya. Bukan kerana jahil hukum tetapi kerana terpengaruh dengan slogan-slogan yang dibungkus indah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Abu Husain, Allah SWT mengabadikan kisah kaum Nabi Luth AS dalam al-Quran sebagai amaran sepanjang zaman dengan firman-Nya yang bermaksud:

Dan (ingatlah kisah) Luth, ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Mengapa kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki dengan nafsu syahwat, bukan kepada perempuan. Bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.’ (Surah al-A‘raf: 80-81)

Abu Husain berkata, kaum Nabi Luth bukan sekadar berbuat maksiat secara peribadi, malah menjadikannya budaya terbuka, mempertahankannya secara kolektif, bahkan mencabar Rasul yang diutus kepada mereka.

“Akhirnya, mereka dimusnahkan dengan azab yang dahsyat. Bumi diterbalikkan, hujan batu membinasakan mereka. Ini bukan kisah dongeng, tetapi sejarah azab yang dirakam Kalam Allah,” katanya.

Beliau berkata, gerakan LGBT hari ini adalah kesinambungan kesesatan kaum tersebut, cuma dengan wajah baru, moden dan meluas kerana tebaran maklumat hanya di hujung jari.

“Mereka menggunakan saluran undang-undang, media hiburan, kempen pendidikan dan pelbagai propaganda seni bagi menormalisasikan yang haram.

“Anak-anak kita dihidangkan dengan watak ‘neutral gender’ dalam animasi, lirik lagu yang mempromosi hubungan sesama jantina, serta kempen ‘kesedaran’ yang menafikan hak ibu bapa membimbing fitrah anak,” tegasnya.

Jika dibiarkan, tambah beliau, ia bukan sahaja merosakkan moral malah menghancurkan institusi keluarga, memadamkan sempadan halal-haram dan melunturkan rasa dosa dalam hati generasi akan datang.

Firman Allah: “Dan mereka yang memelihara kemaluan mereka, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka mereka tidak tercela. Sesiapa yang mencari selain itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Mu’minūn: 5-7)

Abu Husain berkata, menolak fahaman ini bukan bermaksud membenci individu secara peribadi, tetapi menolak perbuatan yang dimurkai Allah.

“Kita dituntut mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, dan mendoakan hidayah bagi mereka yang tersasar. Namun, taubat hanya bermakna jika dosa diakui sebagai dosa bukan dibanggakan dengan menebar luas keterlanjuran dalam media sosial.

“Jika kita berdiam diri, kelak kita akan ditanya di hadapan Allah SWT. Jangan kita jadi seperti kaum Nabi Luth yang membiarkan kemungkaran berleluasa atas nama toleransi atau liberalisasi,” katanya.

Justeru kata Abu Husain, umat Islam perlu menjadi benteng yang menjaga fitrah dan tidak sepatutnya menjadi penonton yang menyaksikan kehancuran akhlak tanpa berbuat apa-apa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×