Jasad arwah Zara utuh, tidak berbau - Penggali kubur

Jasad arwah Zara utuh, tidak berbau – Penggali kubur

ZARA QAIRINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Individu yang terbabit secara langsung dalam pengurusan jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan jasad arwah masih utuh, sempurna dan tidak berbau meskipun sudah 23 hari ditanam.

Menceritakan keadaan tersebut, katanya, dia sebelum itu telah diberi taklimat untuk mengumpulkan segala organ badannya dengan kain kafan, namun semua yang berada di situ terkejut dengan ‘keajaiban’ yang berlaku depan mata.

“Kami sudah bersedia berdepan keadaan jasad yang sukar dilihat kerana sudah 23 hari dikebumikan tetapi kuasa Allah tunjukkan sesuatu yang luar biasa. Jasad arwah Zara masih utuh, sempurna dan tidak berbau.

“Bayangkan 23 hari. Kami sudah bersedia untuk berdepan dengan jasad yang sudah rosak. Malah kami sudah diberi taklimat. Apa pun yang ada, termasuk tulang, isi dan kulit, perlu dikumpulkan serta dibungkus semula dengan kain kafan.

“Tetapi Allah SWT tunjukkan kuasa-Nya. Bila papan liang diangkat, jasad arwah masih utuh dan sempurna. Kain kafan masih elok. Kami semua menangis ketika itu kerana tidak percaya dengan apa yang dilihat,” katanya sambil disambut takbir orang ramai ketika berucap pada Himpunan Solidariti Zara di Padang Tenom, malam tadi.

Lebih mengejutkan, katanya lagi, meskipun semua anggota memakai pakaian perlindungan diri (PPE), mereka membuka pelitup muka kerana menyangka akan berdepan bau busuk.

“Tetapi tiada sebarang bau. Seolah-olah arwah baru saja dikebumikan. Inilah pengalaman paling besar yang saya lalui,” katanya.

Menurut individu tersebut, pada awalnya dia dan rakan-rakan tidak merancang untuk berada di hadapan himpunan itu, sebaliknya hanya mahu hadir memberi sokongan di belakang.

“Patutnya kami datang duduk belakang saja. Tetapi waktu solat tadi, kami terserempak dengan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, beliau terus bawa kami ke depan dan beri satu slot untuk bercakap.

“Jadi saya anggap ini pilihan Allah SWT untuk saya jelaskan keadaan sebenar,” katanya.

Beliau turut berkongsi kenangan menguruskan jenazah Allahyarham sejak awal lagi, dari Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu hingga ke liang lahad.

“Sejak hari pertama Zara meninggal dunia, setiap perjalanan jenazahnya diiringi hujan. Dari hospital, ke masjid, hinggalah ke tanah perkuburan. Begitu juga ketika penggalian semula.

“Saya sendiri membawa jenazahnya balik, diiringi lebih 50 kereta. Bayangkan, kalah VVIP. Di setiap daerah, setiap zon, ada orang menunggu di tepi jalan. Saya kira lebih 23 kumpulan,” katanya.

Menurutnya, Zara sejak kecil dikenali sebagai anak yang menjaga solat, aurat dan sentiasa mengingatkan kawan-kawan untuk menunaikan ibadah.

“Dia mula jaga solat sejak darjah tiga. Sebab itu bagi saya, pengalaman ini mengingatkan kita semua bahawa takdir Allah SWT itu benar. Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 154, orang yang mati syahid tidaklah mati, sebaliknya mereka hidup di sisi Allah SWT, cuma kita tidak mengetahuinya,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan bahawa jasad arwah Zara tidak berbau, tetap utuh dan kekal sempurna sejak diangkat dari liang sehingga dibawa ke hospital dan dikebumikan semula.

“Saya rasa, saya dapat kongsi malam ini, tidak ada skrip, tidak ada apa-apa.

“Tetapi saya menegaskan bahawa jasad arwah (Zara) tidak berbau yang tidak balik, tetap utuh, kekal sempurna daripada angkat, daripada liang ke hospital, kembali ke tanah, Alhamdulillah,” katanya.

Malam tadi, lebih 20,000 orang membanjiri Padang Tenom dalam himpunan berkenaan, membawa plakad, kain rentang dan sepanduk menuntut keadilan buat Allahyarham Zara.

Suasana sebak menyelubungi padang apabila rakaman video, bacaan doa dan ucapan peribadi seperti itu diperdengarkan, sementara laungan ‘Justice for Zara’ bergema dari ribuan hadirin.

Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.

Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan supaya mayat pelajar itu digali semula dan bedah siasat dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×