China buka kedai robot humanoid pertama untuk orang awam

China buka kedai robot humanoid pertama untuk orang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH kedai berteknologi tinggi yang menjual pelbagai jenis robot kepada orang awam termasuk pelayan mekanikal dan replika mirip manusia seperti Albert Einstein, dibuka secara rasmi di ibu negara China, Beijing minggu lalu.

Dinamakan Robot Mall, kedai ini antara premis pertama di China yang menawarkan koleksi robot humanoid kepada pengguna secara terus, menandakan satu langkah besar dalam usaha negara itu memajukan industri robotik domestik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut penganjur, lebih 100 jenis robot ditawarkan untuk dijual, dengan harga bermula serendah 2,000 yuan (sekitar RM1,180) hingga mencecah jutaan yuan, bergantung kepada saiz dan keupayaannya.

Robot Mall turut menawarkan pelbagai perkhidmatan lain antaranya jualan alat ganti serta penyelenggaraan robot, beroperasi seolah-olah sebuah pusat jualan kenderaan berteknologi tinggi.

“Jika kita mahu robot-robot ini memasuki ribuan rumah, kita tidak boleh hanya bergantung kepada syarikat robotik semata-mata,” kata Pengarah Robot Mall, Wang Yifan.

Katanya, kedai seperti ini berperanan penting dalam mendekatkan teknologi kepada pengguna biasa.

Menambah daya tarikan, kedai ini terletak bersebelahan sebuah restoran bertema, di mana robot berperanan sebagai tukang masak dan pelayan, menjadikan pengalaman pelanggan lebih futuristik.

Pengunjung juga boleh berinteraksi dengan pelbagai jenis robot, termasuk robot anjing peliharaan dan robot pemain catur, tarikan interaktif yang ditawarkan secara langsung di premis itu.

Pembukaan Robot Mall turut bertepatan dengan permulaan Persidangan Robot Sedunia yang berlangsung selama lima hari di Beijing bermula Jumaat lalu. Acara tahun ini menyaksikan lebih 1,500 pameran daripada lebih 200 syarikat robotik tempatan dan antarabangsa, menurut laporan media rasmi China.

Beijing turut menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Dunia Robot Humanoid pertama yang berlangsung dari 14 hingga 17 Ogos.

Lebih 20 pasukan dari pelbagai negara bertanding dalam acara seperti olahraga, tarian dan bola sepak, semuanya menggunakan robot berbentuk manusia.

China kini sedang melakar masa depan baharu dengan menjadikan robot bukan sekadar alat industri, tetapi sebahagian kehidupan harian masyarakat.

Ekonomi kedua terbesar dunia itu melabur besar-besaran dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI) sebagai strategi bagi menangani pelbagai cabaran seperti pertumbuhan perlahan dan populasi warga emas yang semakin meningkat.

Sepanjang tahun lalu sahaja, kerajaan China menyediakan subsidi melebihi AS$20 billion (RM84.79 billion) untuk sektor ini.

Malah, dana khas berjumlah 1 trilion yuan (RM590 billion) sedang dirancang bagi menyokong syarikat permulaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini