KUALA LUMPUR: Laluan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 ibarat jalan lurus untuk Pearly Tan-M. Thinaah, namun diingatkan oleh ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, ranjau tetap menanti sekiranya mereka leka.
Bagi Rosman, reputasi sebagai pasangan No. 2 dunia bukan jaminan kejayaan jika pemain alpa dan memandang rendah cabaran awal.
“Kita enggan fikir terlalu jauh, sebab setiap hari situasi berbeza, keadaan angin dan bola pun boleh pengaruhi prestasi.
“Sebab itu kita kena fokus satu demi satu perlawanan, kerana kalau leka, lawan yang ranking rendah pun boleh beri masalah besar,” kata Rosman kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Pearly-Thinaah menerima bye di pusingan pertama sebelum dijangka bertemu pasangan ranking ke-14 dunia dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti di pusingan ketiga yang mana pasangan negara memegang rekod pertemuan 2-1.
Sekiranya mara ke suku akhir, mereka berkemungkinan besar berdepan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto yang juga antara lawan berpengalaman di pentas dunia, namun tidak mustahil satu lagi beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing membuat kejutan menyingkirkan pasangan Jepun itu pada pusingan ketiga
Dalam pada itu, Rosman menyatakan bahawa kelebihan ranking No.2 dunia memberi kelebihan kepada Pearly-Thinaah dapat ‘melarikan diri’ dengan beregu China yang juga No.1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dan Zhang Shu Xian-Jia Yi Fan.
Beliau turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu memikirkan pertemuan dengan beregu pilihan utama China yang berada di bahagian undian berbeza.
“Undian ini hakikatnya memberi sedikit kelebihan kerana kita tidak bertemu China sehingga perlawanan akhir, tetapi kelebihan itu hanya bermakna jika kita beraksi cemerlang pada setiap pusingan,” jelasnya.
Untuk rekod, Sheng Shu-Ning ibarat ‘hantu’ kepada Pearly-Thinaah selepas tewas dalam lima pertemuan terakhir serta terkandas dalam aksi final kepada mereka dalam Kejohanan Badminton Terbuka Artic 2024, Jepun serta China 2025, baru-baru ini. – UTUSAN








