Jangan malu kibar Jalur Gemilang

Jangan malu kibar Jalur Gemilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA minggu lagi negara bakal menyambut Hari Kebangsaan dan kalau masa saya kecil dahulu, merata-rata tempat sudah dipenuhi dengan Jalur Gemilang.

Dari bangunan pejabat, pusat beli-belah, kedai makan, kawasan perumahan, sekolah, deretan jalan sehinggalah di kenderaan, bendera Malaysia berkibar penuh megah.

Rata-ratanya teruja memiliki dan memasang Jalur Gemilang.

Namun, suasana hari ini makin hambar dan jauh berbeza dengan dahulu. Tidak semua premis sanggup mengibarkan bendera.

Mungkin ada yang malu atau serabut melihat kain berjalur-jalur merah-putih dengan simbol bulan sabit dan bintang itu berkibar secara terbuka di kediaman atau tempat kerja masing-masing.

Sedangkan, amalan tradisi itu sebenarnya amat bermakna dalam menyemai rasa cinta kepada tanah air terutama dalam kalangan generasi muda.

Setiap kali melihat bendera berkibar, hati saya rasa bangga kerana negara berjaya mencapai kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman penjajah.

Saya teringat semasa kecil dulu, cikgu meminta murid-murid membawa bendera kecil ke sekolah setiap hari sepanjang sambutan bulan kemerdekaan.

Di rumah pula, masuk sahaja 1 Ogos, keluarga sudah bersemangat mencari batang mop untuk memasang Jalur Gemilang di bumbung rumah.

Bukan hanya kami yang bersemangat, malah jiran-jiran pun turut mengambil inisiatif sama termasuk melekatkannya pada kenderaan.

Bila lalu di Pasar Keramat, banyak gerai-gerai menjual bendera, pelbagai saiz dan jenis boleh didapati.

Ketika itu, saya lihat orang kita tidak berkira untuk membeli bendera, berbanding kini, sudah dapat percuma pun tapi dibuang merata-rata.

Seolah-olah ia langsung tiada tempat di hati warga Malaysia.

Itu belum lagi kes yang merosakkan, memijak dan menghina bendera.

Saya tertarik dengan tindakan tegas Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang mewajibkan seluruh premis perniagaan di Perlis mengibarkan Jalur Gemilang berkuat kuasa dari 5 Ogos sehingga 30 September depan.

Kegagalan berbuat demikian bakal berdepan tindakan denda sehingga RM250.

Di Negeri Sembilan pula, semua ketua jabatan dan penjawat awam diarahkan untuk mengibarkan bendera di kediaman masing-masing sehingga 16 September depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kegagalan mematuhi arahan itu akan dianggap sebagai mengabaikan tanggungjawab dalam menyemarakkan semangat patriotik penjawat awam.

Tetapi, jangan semata-mata pasang bendera kerana terpaksa atau bimbang disaman sehingga mengabaikan tertibnya.

Pertama, pastikan semua jalurnya lengkap dengan bulan sabit serta 14 bucu bintang.

Pasang pada tiang yang kukuh atau di kawasan tinggi tanpa menyentuh tanah.

Bagi bendera yang lusuh dan koyak pula segeralah gantikan dengan baharu.

Tertib ini tidaklah sukar untuk diikuti dan dengan mematuhinya, kita dapat mengelakkan sebarang penghinaan terhadap Jalur Gemilang kesayangan negara.

-Rosalinda Md.Said adalah wartawan Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×