Mahu pitam di tempat ramai orang

Mahu pitam di tempat ramai orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN

Saya kerap mahu pitam bila di tempat yang sesak dengan orang ramai. Jantung mula berdebar-debar, berpeluh dan air mata menitis. Saya benci perasaan ini. Adakah ia normal atau saya sebenarnya menghadapi masalah lain?

-Yang penat

 

JAWAPAN
Perasaan berdebar, berpeluh, mahu pitam dan menangis di tempat awam bukan perkara asing.

Ia sering dikaitkan dengan tekanan emosi atau gangguan kebimbangan sosial.

Keadaan ini boleh menimbulkan ketidakselesaan dan mengganggu rutin harian.

Ia mungkin bukan sekadar rasa takut biasa, tetapi petanda yang tubuh anda memberi isyarat gangguan emosi. Oleh itu, mari kita kenali puncanya:

a)Kenali emosi – Rasa takut atau cemas adalah reaksi normal tubuh apabila rasa terancam Cuba perhatikan dan catat masa, di mana serta bagaimana perasaan itu muncul.

b)Teknik pernafasan – Apabila rasa sesak atau panik muncul, tarik nafas perlahan-lahan melalui hidung selama empat saat, tahan dalam tempoh sama dan hembus melalui mulut selama enam saat. Ulang teknik ini beberapa kali bagi menenangkan sistem saraf dan mengurangkan rasa berdebar.

c)Ubah cara berfikir – Individu yang mengalami kebimbangan sosial cenderung untuk berfikir negatif. Belajar melatih minda dengan menukar fikiran tersebut kepada yang lebih logik dan positif. Pendekatan ini dapat membantu seseorang berfikir dengan tenang, rasional dan seimbang.

d)Belajar sesuaikan diri – Jangan paksa diri untuk terus berada di tempat yang sesak. Mulakan dengan kawasan kurang orang dan perlahan-lahan biasakan diri. Apabila sudah selesa, cabar diri untuk ke tempat yang lebih besar seperti pasar atau majlis sosial.

e)Bina jaringan sokongan – Sertai kumpulan sokongan secara fizikal atau atas talian untuk membantu berhubung dengan individu yang menghadapi pengalaman sama. Perkongsian pengalaman dan sokongan sesama ahli boleh memberi semangat yang anda tidak keseorangan.

f)Sokongan profesional – Jika gejala ini kerap berlaku sehingga menjejaskan kehidupan, dapatkan bantuan daripada kaunselor, psikologi klinikal atau psikiatri. Anda mungkin mengalami gangguan kebimbangan sosial dan ia boleh dirawat melalui terapi atau ubat jika perlu.

Kesimpulannya, menjaga kesejahteraan diri itu penting. Dengan kesedaran dan sokongan tepat, situasi ini dapat diatasi dan kehidupan dapat diteruskan dengan lebih tenang serta terkawal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×