40% pelajar luar bandar ponteng PdPR - Utusan Malaysia

40% pelajar luar bandar ponteng PdPR

Murid Orang Asli, Nurallisyazana Abdullah, 10, dan Nazirul Badrul, 11, mengikuti pembelajaran PdPR menggunakan telefon bimbit di Kampung Redang Punggor, Chenderong Balai dekat Pasir Salak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 20 peratus murid di kawasan bandar manakala 40 peratus di luar bandar tidak dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sekali gus diklasifikasi sebagai ‘ponteng’ disebabkan masalah capaian internet atau tiada peranti.

Perkara itu didedahkan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan yang berkata, pihaknya mengesan masalah `ponteng’ tersebut serius dan ia hanya disebabkan dua permasalahan asas tersebut.

“Saya mengharapkan adanya penambahbaikan daripada semua aspek PdPR. Kita mahukan kepastian bagaimana capaian internet di seluruh Malaysia meningkat atau tidak. Kalau tidak meningkat, masalah lama masih menghantui terutama di luar bandar dan pedalaman.

“Keduanya, masalah peranti. Masih ramai yang belum mempunyai peranti mencukupi setiap seorang untuk mengikuti pembelajaran, malah masih berkongsi dengan ibu bapa masing-masing,” katanya.

Sesi PdPR dilaksanakan Kementerian Pendidikan bermula 16 Mei lalu sehingga tempoh 10 hari berikutnya bagi mengelak malapetaka dan gelombang lebih besar Covid-19 sekembalinya mereka daripada cuti sekolah pada 12 Jun ini.

Mohamad Ali berkata, sektor swasta perlu memainkan peranan mereka dalam membantu kerajaan melaksanakan sesi PdPR dengan lebih berkesan.

“Sekarang adalah masanya swasta membantu kerajaan untuk melengkapkan apa yang diperlukan khususnya di kawasan luar bandar. Saya percaya swasta mempunyai tanggungjawab sosial khususnya swasta yang mengaut keuntungan di daerah-daerah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, dianggarkaan sebanyak 80 peratus murid di bandar manakala 50 hingga 80 peratus murid yang bersekolah di luar bandar mengikuti PdPR.

Katanya, kehadiran tidak mencukupi 100 peratus juga disebabkan oleh komitmen pelajar itu sendiri dan dua permasalahan asas yang dihadapi mereka.

“Kehadiran kelas sepanjang PdPR memang tidak akan penuh. Contohnya, daripada 30 orang satu kelas, yang hadir hanya 28. Namun ia tidaklah seteruk seperti PdPR terdahulu,” katanya.

Tambahnya, guru-guru juga berdepan masalah capaian internet seperti juga pelajar dan ia banyak melibatkan guru di kawasan luar bandar.

“Selain itu, tidak dinafikan ada masalah pelajar ponteng PdPR, namun ia lebih kepada sikap pelajar itu sendiri terutama yang melibatkan kehadiran awal pagi. Ramai tidak hadir disebabkan tidur lewat malam, bermain permainan video dan ibu bapa yang tidak membantu anak-anak mengikuti PdPR.

“Beban kerja sekolah yang diberikan guru juga mengurangkan minat mereka mengikuti PdPR . Justeru, guru perlu mengambil kira psikologi murid semasa belajar di rumah dan menggunakan kreativiti tersendiri bagi menangani isu berkenaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×