KUALA TERENGGANU: Terengganu bertegas tidak menghantar atlet wanita beragama Islam bagi acara akuatik Sukan Malaysia (Sukma) ekoran faktor pemakaian tidak mematuhi syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pendirian itu kekal walaupun peraturan baharu Sukma tidak lagi mewajibkan penyertaan minimum enam negeri bagi sesuatu acara dipertandingkan.
Katanya, pada penganjuran Sukma sebelum ini, setiap acara memerlukan penyertaan sekurang-kurangnya enam negeri dan jika Terengganu menarik diri pada saat akhir, ia berisiko menyebabkan acara tersebut dibatalkan.
“Dulu kalau kita tarik diri pada saat akhir, ia memberi kesan buruk kepada kita kerana acara itu mungkin dibatalkan. Kesan daripada apa yang berlaku sebelum ini, kita sudah maklum awal bahawa Terengganu tidak sertai acara akuatik jika melibatkan penyertaan wanita Muslim dan semua pihak sudah ambil maklum.
“Dengan syarat baharu ini, kita tidak lagi terikat dan akan fokus kepada acara yang kita berkemampuan untuk sertai,” katanya selepas majlis “Selangkah Mencipta Gemilang – Misi Emas Bermula” kontinjen Terengganu Sukma ke-22 di Wisma Darul Iman, semalam.
Sebelum ini penyertaan dua atlet wanita Muslim dalam acara terjun mewakili Terengganu pada Sukma Sarawak 2024 menimbulkan kontroversi apabila ia dilakukan tanpa pengetahuan kerajaan negeri.
Mengulas persiapan Sukma 2026, Hishamuddin berkata, tempoh setahun menjelang temasya itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemas strategi bagi mengembalikan gelaran juara keseluruhan.
Sukma ke-22 yang akan berlangsung di Selangor dari 14 hingga 28 Ogos 2026 dengan kontinjen Terengganu dijangka menyertai 34 acara sukan, melibatkan 28 sukan teras, dua sukan pilihan dan empat sukan tambahan. – UTUSAN










