PETALING JAYA: Proton dan Touch ‘n Go Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mengintegrasikan teknologi RFID Touch ‘n Go ke dalam Proton X50 baharu.
Di bawah perjanjian ini, setiap Proton X50 baharu akan dilengkapi dengan tag RFID Touch ‘n Go terus di barisan pengeluaran, membolehkan akses lancar ke rangkaian lebuh raya berteknologi RFID di seluruh Malaysia.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat untuk menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih pintar dan mudah bagi pengguna di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn. Bhd., Praba Sangarajoo berkata, ini bukan sekadar mengenai mobiliti pintar, ia mengenai membawa nilai sebenar dan keseronokan ke dalam perjalanan harian.
“Ini tentang kepuasan segera anda memandu keluar Proton X50 baharu dari bilik pameran dengan RFID yang sudah siap dipasang begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, sebagai dua syarikat tempatan yang dibanggakan, kerjasama ini adalah satu bentuk penghargaan terhadap potensi apabila juara tempatan bekerjasama.
“Ia digerakkan dengan tujuan untuk mencipta pengalaman yang lebih lancar bagi masyarakat yang menerima perkhidmatan kami, menjadikan mobiliti harian lebih mudah, pantas dan intuitif.
“Touch ‘n Go berbangga untuk sama-sama mencipta pencapaian ini bersama Proton untuk rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Proton memanfaatkan kerjasama dengan Touch ‘n Go untuk penyelesaian mobiliti yang lebih baik dilancarkan pada 24 Julai lalu dengan sambutan pasaran yang memberangsangkan, Proton X50 baharu mencatat kejayaan pantas dengan 2,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan hanya tiga minggu selepas pelancaran rasminya.
Menggabungkan rekaan luaran dan dalaman baharu, teknologi sambungan terkini serta enjin turbo i-GT 1.5 liter yang berkuasa, kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B yang menjadi peneraju pasaran ini adalah model Proton pertama yang dilengkapi dengan tag RFID Touch ‘n Go sebagai ciri standard bagi semua varian.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang berkata, Proton X50 menjadi produk utama Proton untuk rangkaian SUV syarikat dan setakat ini, lebih 140,000 unit telah dikeluarkan dari kilang di Tanjong Malim.
“Dengan pelancaran Proton X50 baharu, kami telah membuat lonjakan besar dalam meningkatkan nilai pembelian untuk pelanggan dengan menawarkan rekaan dan teknologi baharu sambil mengekalkan harga yang sama.
“Melalui kerjasama dengan Touch ‘n Go, Proton menambah satu lagi ciri baharu yang seiring dengan slogan model ini ‘Intelligence That Amaze’,” katanya.
Selain Proton X50, terdapat potensi untuk memperluaskan kerjasama antara kedua-dua syarikat ini kepada model-model Proton lain, bagi menawarkan pengalaman pemanduan lancar yang sama kepada pembeli.
“Dengan pelancaran model baharu lain yang sedang dirancang, Proton bercadang untuk memperluaskan pemasangan tag RFID Touch ‘n Go kepada model lain bagi menawarkan tahap kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan.
“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan tahap kepuasan pelanggan, dan kami percaya ini adalah salah satu langkah ke arah mencapai matlamat tersebut,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian berlangsung di ibu pejabat Proton Centre of Excellence di Shah Alam. – UTUSAN










