Slot bimbang pertahanan Reds rapuh

Slot bimbang pertahanan Reds rapuh

Penyerang Crystal Palace, Jean-Philippe Mateta (tengah) diterjah penjaga gol Liverpool, Alisson Becker dalam aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley, London, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui benteng pertahanan The Reds perlu diperbaiki jika mahu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kelemahan benteng Liverpool terbukti ketika diikat 2-2 oleh Crystal Palace sebelum mereka tewas 3-2 menerusi penentuan penalti pada aksi Perisai Komuniti, semalam.

The Reds yang berbelanja besar 260 juta pound (RM1.48 bilion) pada jendela perpindahan, tampak mantap di bahagian serangan dengan Hugo Ekitike dan Jeremie Frimpong masing-masing meledak gol.

Liverpool gagal mengekalkan kelebihan sebanyak dua kali apabila Palace menyamakan kedudukan menerusi Jean-Philippe Mateta dan jaringan Ismaila Sarr sebelum perlawanan berakhir 2-2 dan diteruskan dengan penentuan sepakan penalti.

Slot menyaksikan potensi barisan serangan bertaraf bintang miliknya, apabila pemain termahal yang direkrut musim panas ini Florian Wirtz melakukan hantaran buat Ekitike menjaringkan gol seawal minit keempat.

Namun, benteng pertahanan Liverpool bermasalah, mereka mudah ditembusi lawan menerusi serangan balas pantas, sama speerti aksi pramusim.

AC Milan menewaskan anak buah Slot 4-2 di Hong Kong, manakala Liverpool menang tipis 3-2 ke atas Athletic Bilbao dalam salah satu daripada dua aksi persahabatan menentang kelab Basque itu di Anfield, awal minggu lalu.

“Jika dilihat kepada permainan menyerang kami menentang pasukan yang begitu kompak, ia mungkin sedikit lebih baik berbanding musim lalu. Kami hanya menjaringkan satu gol menentang Palace musim lalu. Kali ini kami menjaringkan dua.

“Tetapi pada masa sama, kami bolos dua gol sama ketika menentang Bilbao dan bolos beberapa kali lagi menentang Milan. Ia sesuatu yang perlu kami perbaiki, kami mampu mencipta lebih banyak peluang tetapi pada masa ini kami juga banyak dibolosi.

“Jika mahu bersaing merebut kejuaraan liga, anda tidak boleh membenarkan lawan mencipta peluang sebegini. Kami membenarkan terlalu banyak peluang kepada lawan hari ini (semalam),” kata Slot.

Perbelanjaan Liverpool dalam pasaran perpindahan mungkin belum berakhir kerana mereka masih dikaitkan dengan penyerang Newcastle, Alexander Isak.

Namun Slot menolak dakwaan perbelanjaan besar itu akan menambah tekanan terhadap pemainnya musim ini.

“Kerana kami adalah Liverpool, tekanan itu sentiasa ada. Ia tidak ada kaitan dengan membawa masuk pemain baharu,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×