Negeri Sembilan catat sejarah layak ke Divisyen 1 MJHL 2026

Negeri Sembilan catat sejarah layak ke Divisyen 1 MJHL 2026

PASUKAN hoki Negeri Sembilan meraikan kemenangan dalam perlawanan separuh akhir Divisyen 2 Liga Hoki Junior Malaysia di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Arena hoki Negeri Sembilan mencatatkan sejarah apabila pasukan hoki lelaki menempah tiket ke Divisyen 1 Liga Hoki Junior Malaysia (MJHL) 2026 selepas menang dalam saingan separuh akhir liga musim ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Pasukan itu yang tersenarai dalam Divisyen Dua layak selepas menumpaskan Anderson Tiger/PPD Kinta Utara dengan jaringan 4-1. 

Negeri Sembilan mara ke separuh akhir selepas muncul juara kumpulan D (sentral) dengan memenangi semua perlawanan dalam kumpulan yang disertai empat pasukan lain.

Dalam perlawanan malam tadi, pasukan Negeri Sembilan yang dibimbing oleh Shaiful Azli Abd. Rahman mendahului lawan pada minit ke-4 melalui pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Amandeep Singh.

Pasukan lawan cuba bangkit dan berupaya menyamakan kedudukan pada minit ke-18 melalui ketua pasukan, Muhammad Nor Aizat Haiqal Nod Azman hasil pukulan sudut penalti.

Saingan bertambah sengit dan Amandeep sekali lagi tidak mensia-siakan peluang pukulan sudut penalti pada minit ke-25 dengan menjaringkan gol kedua Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan mengukuhkan kedudukan apabila Muhammad Zarif Irfan Mohd Arfian menjaringkan gol ketiga pada minit ke-54 dan diikuti seminit kemudian oleh Muhammad Ruzlan Haikal Ab. Wahab dengan gol keempat.

Perlawanan itu juga menyaksikan Amandeep muncul penjaring gol terbanyak Divisyen 2 ketika ini dengan 12 gol.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengucapkan tahniah kepada semua pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, Negeri Sembilan berbangga dengan pencapaian pasukan itu yang berusaha keras sejak beberapa bulan lalu sehingga berjaya mencapai kedudukan tersebut. 

“Teruskan memberi sokongan padu kepada wira-wira hoki kita,” katanya.

Negeri Sembilan akan berdepan dengan SSTMI Juniors dalam perlawanan akhir Divisyen 2 malam ini. SSTMI Juniors menewaskan GR Highlander, 5-0, dalam saingan separuh akhir.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×