Fesyen tidak pernah melelapkan mata ketika Modanisa memasuki dunia maya dengan pertunjukan fesyen e-pentas peragaan pertamanya lantaran pandemik sejak setahun lalu.
Pertunjukan fesyen secara maya diadakan menampilkan model yang memperagakan koleksi Ramadan Musim Bunga Panas 2021 merentasi Istanbul yang indah.
Koleksi baharu yang berani dan berona terang memeriahkan tempat bersejarah di Istanbul apabila mercu-mercu tanda seperti Grand Bazaar, Yedikule, Sultanahmet dan Rumeli Fortress menjadi pentas peragaan utama pertunjukan fesyen tersebut.
Bertemakan ‘Setiap wanita berhak untuk melihat dan merasa anggun walaupun di masa pandemik’, platform fesyen sopan dalam talian dari Turki ini memperagakan koleksi terbaharu yang menampilkan rekaan daripada Özlem Süer x Refka, Roza x Benin, Refka dan Mayovera.
Dengan rangkaian gaun malam, fesyen gaya jalanan, pakaian sukan dan pakaian renang, pastinya ada yang sesuai untuk dipakai di majlis-majlis dan musim perayaan ini.
Pengarah Pemasaran dan Jenama Modanisa, Samim Sürel, berkata pihaknya berasa teruja memperkenalkan koleksi terkini kepada pasaran Malaysia.
“Norma baharu ini membolehkan pertunjukan fesyen e-pentas peragaan diadakan dan disaksikan secara dalam talian.
“Pertunjukan ini juga memberikan kami peluang untuk menjadi lebih kreatif dalam persembahan fesyen kami serta memberikan sorotan kepada tempat-tempat menarik di Istanbul pada masa yang sama,” katanya dalam sidang video pertunjukan fesyen berkenaan baru-baru ini.
Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai pasaran penting bagi Modanisa kerana terletak di lokasi yang ideal dan sebagai peneraju hab fesyen sopan di Asia Tenggara.
“Malaysia mempunyai pasaran tawanan tersendiri dan telah terbukti mempunyai permintaan yang tinggi untuk busana fesyen sopan yang berkualiti dan malar segar.
“Kami berharap agar setiap wanita kelihatan dan merasa hebat apabila memakai koleksi terkini kami walaupun dunia sedang dilanda pandemik.
“Pelanggan dapat membeli-belah dengan mudah dan selesa dari rumah mereka sementara pakaian yang dibeli akan dihantar ke pintu rumah masing-masing,” katanya.
Pertunjukan fesyen e-pentas peragaan tersebut telah menjadi sohor di semua platform media sosial Modanisa, berjaya mencapai lebih daripada 305,000 penonton dari 140 negara di seluruh dunia.










