SHAH ALAM: Tindakan seorang lelaki meragut bukan sahaja gagal malah terus dicekup sebaik sahaja cuba melarikan diri selepas melakukannya dekat Jalan Setia Prima, Setia Alam, di sini, semalam.
Suspek tempatan berusia 30 tahun itu diberkas orang awam selepas terjatuh dan cuba melarikan diri, kira-kira pukul 7.07 petang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian suspek menaiki motosikal Yamaha 135LC yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Suspek dipercayai cuba meragut lelaki tempatan berusia 37 tahun, namun gagal kerana mangsa melawan hingga menyebabkan dia terjatuh.
“Kemudian, dia cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap oleh orang awam yang membantu di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah motosikal, anak kunci dan pakaian suspek ketika kejadian itu.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku turut terlibat dalam dua kes ragut lain sebelum ini. Suspek direman empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan terbuka atau berjalan kaki di tepi jalan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 39 saat memaparkan tindakan suspek cuba meragut mangsa yang keluar dari sebuah kenderaan sebelum terjatuh dari motosikal lalu ditahan. – UTUSAN










