KUALA LUMPUR: Pengurangan kadar tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) daripada 25 peratus kepada 19 peratus bukti negara memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja cekap mengurus hal ehwal dalam negeri, malah mampu menangani isu-isu antarabangsa secara berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan tarif itu merupakan hasil rundingan diplomatik yang memberi manfaat besar kepada ekonomi negara, khususnya dalam sektor eksport berteknologi tinggi.
Katanya, tarif asal sebanyak 25 peratus yang diumumkan AS sebelum ini akan memberi impak besar kepada sektor eksport Malaysia, terutama dalam bidang semikonduktor serta produk elektrik dan elektronik (E&E).
Tambahnya, ia disebabkan kedua-dua bidang itu merangkumi hampir 60 peratus daripada jumlah eksport ke negara itu dengan nilai mencecah RM200 bilion setahun.
“Ada yang tanya, apa kaitan dengan AS? Kaitan ini besar, kita hendak selamatkan puluhan ribu pekerjaan rakyat Malaysia, hendak pastikan pendapatan cukai kekal tinggi supaya hasilnya boleh dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya merasmikan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Perdana Menteri berkata, kemampuan Kerajaan Madani menyelesaikan isu tarif ini membuktikan bahawa diplomasi ekonomi yang dijalankan berpaksikan kebijaksanaan dan kepentingan negara, bukan sekadar retorik politik.
“Hendak bercakap boleh, hendak kritik pun boleh. Tapi kita mesti ingat, kita ada tanggungjawab untuk mengangkat martabat negara ini sebagai sebuah negara hebat. Kita ada amanah, kita kena pikul bersama,” katanya.
Anwar sekali lagi berkongsi perbualannya bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) yang memuji sumbangan Malaysia mencapai gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
Kata beliau, perbualannya bersama Trump pada pukul 6.50 pagi itu, Presiden AS berkenaan mengulangi perkataan ‘fantastic’ (luar biasa) sebanyak tiga kali.
“Beliau (Trump) kata ‘Prime Minister Anwar, fantastic work’. Malah, beliau menyebut perkataan ‘fantastic’ sebanyak tiga kali kerana kagum dengan kejayaan Malaysia menyatukan dua negara jiran itu untuk bersetuju dengan satu gencatan senjata yang sukar dicapai di tempat lain,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, kejayaan diplomatik berkenaan telah mengangkat nama Malaysia di mata dunia.
Beliau berkata, satu lagi rundingan lanjutan akan diadakan di ibu negara pada Isnin ini.
Sementara itu, Anwar berkata, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diberi amanah untuk menentukan hala tuju baharu FGV Holdings Berhad selepas berjaya memperoleh pegangan saham melebihi 90 peratus dalam syarikat tersebut. – MINGGUAN










