Kecintaan dalam bahasa Melayu khususnya karya karya sastera bukan sahaja dinikmati pencinta sastera tempatan, malah turut mendapat perhatian besar daripada orang luar.
Didorong rasa minat dan rasa teruja terhadap keindahan bahasa dan sastera Melayu, menggerakkan seorang pencinta bahasa Melayu Dr. Victor Pogadaev mengambil inisiatif mengumpul dan menterjemahkan puisi karya penyair tempatan termasuklah antaranya Sasterawan Negara (SN). kepada bahasa ibundanya, Russia.

Antologi puisi bahasa Russia tersebut mengandungi karya penyair Malaysia yang dianggap sebagai antara yang terbaik dalam sastera Malaysia moden .
Tiga daripada mereka memegang gelaran tertinggi untuk sasterawan Malaysia iaitu Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Baharuddin Zainal (Baha Zain), SN Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan SN Datuk Dr. Zurina Hassan.
Kumpulan Tujuh Warna Pelangi bukanlah pilihan puisi yang kebetulan oleh tujuh penyair Malaysia dalam terjemahan Dr. Victor Pogadaev dan anaknya serta muridnya Anna Pogadaev disunting oleh Dr. Liubov Goriaeva.
Buku tersebut bertujuan untuk melukis potret umum penulis-penulis Malaysia, memperkenalkan pembaca kepada pemikiran penyair-penyair moden dan menunjukkan bagaimana setiap orang menjalankan dialog dengan zaman.

Penciptaan puisi tidaklah menjadi pekerjaan utama kebanyakan daripada mereka. Mereka adalah ahli akademik, pendidik, pengkritik sastera, pegawai kerajaan yang pada waktu senggang, menulis puisi tentang apa yang mengisi pemikiran mereka, merisaukan jiwa.
Oleh kerana itu, sukar untuk melihat dalam karya mereka sebarang “pesanan sosial” yang dipaksakan daripada luar, malah puisi yang berunsur kritikal dipandu, terlebih dahulu, oleh keprihatinan yang tulus daripada penulis ketika melihat gejala hodoh masyarakat.
Tema menyeluruh dalam kumpulan puisi ini boleh dianggap sebagai nostalgia terhadap masa lalu, terhadap zaman kanak-kanak yang biasanya kita lihat dalam cahaya yang ceria, ingatan tentang cinta yang lalu dan kepahitan kehilangan abadi dalam puisi, yang sentiasa mendapat sambutan hangat daripada pembaca.
Ia paling jelas dinyatakan dalam puisi pembuka oleh penyair Baha Zain (lahir 1939), serta Malim Ghozali PK (1949-2020).
Sebaliknya, Ahmad Kamal Abdullah yang menulis dengan nama samaran Kemala (1941-2021) dan juga tidak asing dengan motif tradisional ini, memiliki persepsi yang lebih tajam terhadap masa kini dengan semua masalah dan percanggahan yang dihadapinya.
Penyair itu menyeru pembaca untuk tidak berputus asa berhadapan kesulitan hidup, dengan mengambil contoh tokoh-tokoh cemerlang seperti Martin Luther King (1929-1968), penyair Usman Awang (1929-2001) dan penulis Utuy Tatang Sontani (1920-1979).
Jumlah puisi setiap penyair
SN Bahasa Zain – 36
Kemala – 28
Dr. Zurinah Hassan – 40
Rahimidin Zahari – 32
Hashim Yaacob – 26
Malim Ghazali PK – 41
Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI) – 27

Haluan politik juga menjadi ciri karya Abdul Ghafar Ibrahim (lahir 1943): tema utama dalam karyanya adalah perjuangan sebagai bentuk kewujudan – untuk kepentingan orang biasa, menentang kuasa elit.
Puisi penyair wanita Zurinah Hassan (lahir 1949) adalah bukti yang jelas tentang pandangan unik terhadap segala sesuatu di sekeliling yang dimiliki oleh wanita.
Watak liriknya adalah sebahagian daripada dunia yang sangat besar dan indah, dengan alamnya, masa lalu dan masa kini sekali gus.
Dia tidak menutup mata terhadap masalah ekologi dan politik yang dihadapi tanah airnya, serta menyatakan kesediaan perempuan untuk mempertahankan nilai-nilai utama kewujudan, termasuk – kebebasan peribadi mereka.
Karya wakil generasi muda penyair Melayu, Rahimidin Zahari (1968-2015), sebaliknya, tidak memiliki sebarang motif sosial, dan harus dikategorikan dalam bidang ‘lirik murni’.
Rahimidin mengisytiharkan dirinya sebagai seorang yang ‘keluar daripada lingkaran sejarah’, ‘rumput bumi’, batu tepi jalan, alam yang pelbagai wajah – dan pada masa yang sama seorang pemburu, yang mencari mangsanya di dalam dirinya.
Sebaliknya, penyair dan ilmuwan Datuk Dr. Hashim Yaacob (lahir 1949) membentangkan tema penciptaan, pengubahsuaian aktif realiti sebagai inti utama.
Dr. Hashim sentiasa menekankan bahawa dalam hal itu, pengalaman generasi yang lebih tua, sokongan spiritual dari mereka yang sudah pergi banyak membantunya. Tujuh penyair, yang puisi mereka dimuat dalam antologi, walaupun memiliki perbezaan antara satu sama lain, disatukan oleh serangkaian ciri penting.
Pertama sekali, ini adalah cinta kepada tanah air, kepada alamnya, kepada rakyatnya, kepada cara hidup yang tidak terpisah daripada ingatan tentang nenek moyang.
Dalam pengaruh peradaban teknologi yang datang daripada Barat, sebahagian penulis melihat ancaman terhadap pemusnahan budaya dan kewujudan mereka sendiri secara keseluruhan, sedangkan yang lain, terperangkap dalam dunia gambaran puisi dan pengalaman peribadi, lebih suka untuk tidak menghiraukannya. Bagaimana pun, mereka semua berkarya dalam satu bidang yang sama.
Antologi itu sendiri dengan jelas menunjukkan kesuburan tradisi puisi bebas Melayu, yang telah membuka jalannya ke abad ke-21. Victor berkata, usaha menterjemahkan puisi tersebut bagi memudahkan rakyat Russia mengenali keindahan Bahasa Melayu, yang dihasilkan sasterawan Malaysia.
“Saya mahu rakyat Russia mengenali penyair dan hasil sasterawan Malaysia,” ujarnya. Sebelum ini beliau mendapati hasil karya sastera Melayu tidak terkumpul tetapi berada dalam kumpulan sendiri , tetapi tidak dinikmati warga Russia, justeru buku antologi tersebut akan dijual di negara berkenaan.
Beliau juga sebelum ini banyak menghasilkan bahan penulisan dalam bahasa Melayu seperti kamus ensikopedia sastera dan termasuk lebih kurang 800 artikel beberapa tahun lepas. – UTUSAN










