Tarif melegakan Malaysia

Tarif 19 peratus melegakan Malaysia

PELABUHAN Klang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia lega dapat mencapai tarif timbal balik dikenakan Amerika Syarikat se­banyak 19 peratus berban­ding 25 peratus sebelumnya, walaupun ter­dapat risiko eksport negara ba­kal terjejas pada masa hadapan.

Keputusan itu diperoleh tanpa memerlukan Malaysia membu­ka sektor strategiknya kepada ne­ga­ra itu dan pada masa sama me­ngekal daya saing produk tem­patan terutama di pasaran AS.

Bagaimanapun, pihak industri meramalkan kadar baharu tarif itu akan tetap memberi kesan kepada sektor eksport negara cuma ia lebih baik berbanding 25 peratus sebelum ini.

Kadar 19 peratus menyamai apa yang dikenakan ke atas Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja. Vietnam dan Myanmar pula masing-masing dikenakan tarif 20 peratus dan 40 peratus.

Singapura menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menikmati kadar tarif AS yang lebih rendah iaitu 10 peratus.

Menteri Pelaburan, Perdaga­ngan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengurangan tarif itu dicapai tanpa kompromi ke­daulatan negara membabitkan dasar-dasar penting bagi me­nyo­kong kestabilan dan pertum­buhan sosioekonomi negara.

Beliau menganggap kadar itu yang setara dengan beberapa ne­gara jiran, sebagai pencapaian penting dalam proses run­dingan Malaysia yang amat menyeluruh dan sistematik.

“Keputusan oleh AS ini men­cerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara.

“Ia juga mencerminkan kre­dibiliti Malaysia sebagai rakan kongsi perdagangan dan pelaburan yang boleh dipercayai. Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawat kami di AS terutamanya Pejabat Perwakilan Perdagangan AS dan Jabatan Perdagangan atas kerjasama dan sokongan membina dari mereka sepanjang proses rundingan,” katanya semalam.

Semalam Presiden Donald Trump me­ngumumkan kadar tarif baharu sebanyak 19 peratus untuk Malaysia, berbanding 25 peratus sebelum ini.

Negara Asia Tenggara lain se­perti Vietnam dikenakan kadar 20 peratus, Filipina, Indonesia dan Thailand sebanyak 19 peratus, manakala Myanmar 40 peratus. Tarif baharu AS itu akan berkuat kuasa 7 Ogos ini selepas Trump menandatangani perintah eksekutif.

Tengku Zafrul berkata, MITI bekerjasama rapat dengan agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), kementerian dan agensi berkaitan untuk menganggarkan kesan tarif ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Ini termasuk menggalakkan pengeksport untuk menggunakan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia bagi mempelbagaikan dan mengembangkan pasaran eksport mereka.

“MITI juga akan meneruskan program pembaharuan industri, seperti yang ditetapkan oleh dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan untuk membantu syarikat Malaysia mengubah operasi mereka dengan meningkatkan kecekapan, menerima automasi, dan meningkatkan produktiviti keseluruhan,” katanya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Tengku Zafrul memaklumkan, antara produk utama yang dikekalkan pada kadar duti sifar ialah farmaseutikal dan semikonduktor.

Selain itu, isu bukan tarif se­perti piawaian sanitasi dan pensijilan halal berjaya diselesaikan tanpa menjejaskan keperluan peraturan atau sensitiviti agama negara.

Beliau turut memaklumkan, Malaysia menawarkan duti sifar ke atas 61 peratus produk import dari AS.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad menjangkakan, eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) akan merosot sehingga 20 peratus tahun ini susulan pelaksanaan tarif baharu itu, sekali gus memberi kesan langsung kepada imbangan akaun semasa dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata, impak penurunan eksport itu tidak boleh dipandang ringan, namun bukan bermakna perdagangan Malaysia berada di jalan buntu.

“Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada satu negara, walaupun ia merupakan antara rakan dagang terbesar dengan nilai perdagangan mencecah RM300 bilion setahun. Kita perlu lebih agresif mempelbagaikan pasaran ke Asia Barat, Afrika dan negara membangun lain,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Bashir Ahmad berkata, fokus perlu diberikan kepada perluasan pasaran di rantau Asia Barat, Afrika dan negara membangun lain bagi memastikan perdaga­ngan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing dalam jangka panjang.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah pula berkata, Malaysia masih mampu mengekalkan daya saing antarabangsa, terutama dalam sektor strategik seperti semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).

“Malaysia tidak mengeksport kenderaan ke AS, tetapi komponen seperti alat ganti dan cip semikonduktor yang menyumbang besar kepada hasil eksport negara. Kita masih memiliki ke­lebihan dari segi teknologi, kua­liti produk dan tenaga mahir,” katanya.

Beliau berkata, produk E&E Malaysia masih mampu bersaing dengan negara serantau seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia meskipun berdepan tarif import 19 peratus.

Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terkesan terutama dari segi peningkatan kos operasi dan daya saing harga.

“Pun begitu, kejayaan Malaysia merunding pengurangan tarif sebanyak enam peratus adalah satu pencapaian besar dalam situasi ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kerajaan perlu menilai semula daya saing eks­port negara secara menyeluruh dan melihat kedudukan Malaysia berbanding negara pesaing serantau yang membekalkan produk sama ke pasaran AS.

“Kita tidak boleh berpuas hati hanya kerana tarif diturunkan daripada 25 kepada 19 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×