KLANG: Suasana di Pangsapuri Seri Perantau, di sini gempar apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lapan rumah pengasuhnya, kira-kira pukul 7.45 pagi semalam.
Insiden tragis itu disedari seorang penduduk, Hana Yaakob, 50, yang ketika itu berada di Blok K, bersebelahan lokasi kejadian.
“Saya sedang bersiap menghantar anak jiran ke sekolah apabila terdengar jeritan lelaki dari Blok J menjerit, ‘anak siapa yang jatuh!’ Saya terus tengok ke arah ditunjuk dan ternampak tubuh kecil terbaring kaku di tempat letak kereta. Menggigil seluruh badan saya,” katanya.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa sedang berada di rumah pengasuhnya. Keadaan ketika itu tenang sebelum tragedi itu disedari oleh penduduk yang terdengar bunyi hentakan kuat di bawah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamal Ariffin Aman Shah mengesahkan kejadian dan memaklumkan mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di zon merah.
Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan memastikan tiada unsur kecuaian.
Dalam pada itu, anak lelaki pengasuh yang berusia 12 tahun tampil meluahkan kesedihan atas kehilangan insan yang amat rapat dengannya.
“Saya kenal dia sejak bayi. Dia seperti adik sendiri. Kami main bersama bila saya balik sekolah. Emak dah rancang sambut hari lahirnya Oktober nanti. Ayah pula baru cakap nak bawa dia tengok burung esok. Tapi sekarang dia dah tak ada,” katanya dalam nada sebak.
Kejadian menyayat hati itu mengundang pilu seluruh komuniti setempat yang masih terkejut dengan insiden terbabit. Pihak polis menasihati orang ramai agar lebih peka terhadap keselamatan kanak-kanak, terutama yang tinggal di kediaman bertingkat tinggi. – UTUSAN











