Makin menjadi-jadi saya tengok trend maki hamun pasangan di media sosial.
Kadang kala, bukan setakat suami atau isteri yang jadi mangsa, malah mak mentua, adik-beradik dan ipar duai pun terheret sama.
Pelbagai kata-kata buruk dilemparkan secara terbuka, tanpa sedikit pun berlapik atau ditapis.
Ada yang dengan selamba menyindir pasangan mereka ‘dayus’, ‘tak guna’ dan ‘tak bertanggungjawab’.
Kalau dulu orang simpan aib rumah tangga dalam-dalam, masalah kecil atau besar diselesaikan sesama pasangan dan bukan ditayangkan di depan khalayak.
Tetapi sekarang, pantang bergaduh sikit, terus capai telefon, buka Instagram dan buat status sumpah seranah.
Panjang lebar karangan ditulis sambil sebut nama penuh pasangan.
Kemudian sambung pula di TikTok, buat video luahan rasa untuk meraih simpati dan sokongan ramai.
Bila sudah habis episod krisis dengan isteri atau suami, mentua pula menjadi sasaran.
Digelar ‘penyibuk’, ‘hasut anak lelaki’, ‘pilih kasih’ dan macam-macam lagi yang tidak patut dilontarkan secara terbuka.
Ini bukan kebebasan bersuara, sebenarnya masyarakat kita sudah hilang adab dalam meluahkan rasa marah dan kecewa.
Saya faham, kadang-kadang ada pasangan yang teraniaya, dizalimi, dicurangi, dimanipulasi, bahkan didera secara fizikal atau mental.
Namun, ruang media sosial bukan tempat terbaik untuk menyelesaikan kemelut peribadi.
Setiap orang ada maruah dan bila kita membuka aib suami isteri, mentua mahupun keluarga pasangan, secara tidak langsung kita turut mencalarkan maruah diri.
Orang luar mungkin simpati pada awalnya, tetapi lama-kelamaan akan mula menghakimi, siapa sebenarnya yang bermasalah?
Lebih merisaukan, budaya ini seperti memberi lesen besar kepada masyarakat untuk mencampuri urusan rumah tangga seseorang.
Bila sudah ‘disajikan’ dengan kisah dalam kain, netizen akan mula menjadi hakim. Ada yang menyokong, mengecam, malah menjadi batu api.
Akhirnya, pergaduhan kecil bertukar menjadi perang besar.
Tidak salah untuk meluah rasa, tetapi cukuplah kepada orang yang dipercayai seperti kaunselor, ahli keluarga atau sahabat karib.
Jika rasa ingin bersuara untuk mempertahankan diri, lakukan secara berhemah. Jangan biar emosi menguasai akal hingga kita hilang kawalan.
Ingatlah, anak-anak juga mungkin membaca atau menonton apa yang kita tulis dan rakam.
Bayangkan perasaan mereka bila tengok ibu bapa bertikam lidah secara terbuka di Facebook, Instagram, TikTok dan Threads.
Ini bukan sahaja menjejaskan emosi anak, tetapi juga membentuk persepsi negatif mereka terhadap institusi rumah tangga.
Trend ini sebenarnya lebih membawa mudarat daripada manfaat.
Apa yang viral hari ini, akan kekal lama di internet. Boleh diulang tengok, diambil tangkap layar, dan disebarkan semula walaupun sudah dipadam.
-Rosalinda Md.Said adalah wartawan Utusan Malaysia










