Ikon wanita pertama dalam sejarah dunia

Ikon wanita pertama dalam sejarah dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARIPADA menjadi doktor pertama hingga memecah dominasi lelaki dalam politik dan sukan, wanita di seluruh dunia kini mencatat sejarah sebagai perintis dalam pelbagai bidang.

Walaupun berdepan cabaran budaya dan sistem patriarki yang membataskan peranan mereka, tokoh-tokoh wanita ini berjaya membuka laluan bagi generasi seterusnya untuk melangkah lebih jauh.

Ada yang berjaya menjadi wanita pertama memenangi anugerah tertinggi dunia, ada juga yang membina empayar kekayaan sendiri di tengah arus diskriminasi.

Berikut merupakan beberapa pencapaian bersejarah, daripada ahli politik wanita pertama hingga ke jutawan, yang akan terus menjadi inspirasi generasi masa kini dan akan datang.

CALON PRESIDEN 
Pada 2016, Hillary Rodham Clinton mencipta sejarah apabila dipilih sebagai calon presiden Parti Demokrat, menjadikannya wanita pertama daripada parti utama yang berjaya mencapai pencalonan itu.

Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) itu turut mencatat satu lagi kejayaan penting apabila memenangi undi popular dalam pilihan raya presiden, walaupun tidak berjaya menduduki jawatan itu.

Namun, Clinton bukanlah wanita pertama yang mencuba nasib untuk jawatan tertinggi itu, kerana pada 1872, Victoria Woodhull sudah pun bertanding jawatan Presiden AS melalui Parti Hak Sama Rata.

Beliau juga merupakan wanita pertama yang memiliki firma broker saham di Wall Street serta menerbitkan akhbar mingguan sendiri.

 

PRESIDEN NEGARA

Walaupun semakin ramai wanita dipilih sebagai ketua negara, rekod wanita pertama yang memecah tradisi itu dipegang oleh Vigdis Finnbogadottir dari Iceland.

Pada 29 Jun 1980, beliau mencatat sejarah dunia sebagai wanita pertama yang dipilih secara demokratik sebagai presiden sebuah negara.

Beliau berkhidmat selama 16 tahun, menjadikannya ketua negara wanita yang paling lama dalam sejarah pilihan raya.

JEJAK ANGKASA
Nama-nama seperti Valentina Tereshkova, Mae Jemison, Jessica Watkins dan Eileen Collins bukan sahaja tercatat dalam sejarah penerokaan angkasa, tetapi juga lambang keberanian serta kecekalan wanita menembusi batas dunia lelaki.

Tereshkova dari Russia mencipta sejarah sebagai wanita pertama di angkasa pada 1963.

Beliau mengelilingi bumi sebanyak 48 kali dalam tempoh tiga hari, sekali gus membuktikan yang wanita juga mampu menyumbang dalam bidang aeroangkasa.

Pada 1992, doktor dan jurutera, Jemison, menjadi wanita kulit hitam pertama ke angkasa sebagai sebahagian daripada misi kapal Endeavor.

Selepas hampir tiga dekad, pada 2022, Watkins pula mencipta sejarah sebagai wanita kulit hitam pertama yang menyertai kru Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Satu lagi pencapaian penting berlaku pada 3 Februari 1995, apabila Collins menjadi wanita pertama yang menerbangkan kapal angkasa dan dilantik komander dalam misi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) pada 23 Julai 1999.

 

JUTAWAN 
Sarah Breedlove atau dikenali sebagai Madam C.J. Walker, mencipta sejarah sebagai wanita kulit hitam pertama di AS yang menjadi jutawan hasil usaha sendiri.

Walker membangunkan rangkaian produk penjagaan rambut khas dan menubuhkan sekolah kecantikan bagi melatih ribuan jurujual.

Selain menjadi tokoh perniagaan disegani, Walker juga merupakan dermawan yang banyak menyumbang kepada biasiswa pendidikan, pusat penjagaan anak yatim serta bantuan untuk warga emas dan migran.


MENANG HADIAH NOBEL
Saintis terkenal kelahiran Poland, Marie Curie, mencipta sejarah sebagai wanita pertama memenangi Hadiah Nobel.

Penyelidikan mengenai sinaran radioaktif bersama suami, Prof. Pierre Curie dan saintis Henri Becquerel membawa kepada penganugerahan Hadiah Nobel Fizik pada 1903.

Marie kemudiannya memenangi Hadiah Nobel kedua pada 1911 dalam bidang sains kimia hasil kajian terhadap unsur radioaktif, menjadikan beliau satu-satunya wanita dalam sejarah yang pernah memenangi dua Hadiah Nobel dalam bidang berbeza

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×