RMK13: Malaysia perlu agresif bangunkan teknologi AI sendiri

RMK13: Malaysia perlu agresif bangunkan teknologi AI sendiri

MALAYSIA menerusi RMK13 menyasarkan untuk menjadi negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu melabur secara agresif dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) tempatan dan tidak lagi sekadar bergantung kepada penggunaan teknologi sedia ada sekiranya mahu mencapai aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk menjadi negara pencipta teknologi.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, AI berpotensi menjadi pemacu utama transformasi ekonomi negara sekiranya pelaburan diberi keutamaan kepada aspek pembangunan dan penciptaan teknologi itu sendiri.

“AI boleh menggantikan banyak fungsi manusia dalam tempoh terdekat. Namun, jika Malaysia hanya fokus kepada penggunaan tanpa mencipta teknologi sendiri, kita akan kekal sebagai pengguna, bukan penentu arah pasaran global.

“Pada tahap pertama, kita sudah menggunakan AI dalam amalan perniagaan dan ekonomi. Tapi itu baru permulaan. Tahap seterusnya adalah kita perlu cipta sendiri teknologi AI dan  inovasi baharu dalam AI kerana ia berkembang dengan pesat dan akan mengambil alih banyak aspek kehidupan manusia.

“Kalau kita tidak ambil langkah sekarang, manusia boleh jadi tidak relevan. Kita perlu bangunkan AI dengan pendekatan baharu yang memastikan manusia terus relevan. 

“Maka, kita perlukan bakat yang bukan sekadar mahir AI, tapi mampu mengintegrasikan AI ke dalam kehidupan seharian untuk menjadikannya lebih baik dan berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru itu, beliau berkata, pelaburan utama perlu disalurkan kepada sektor pendidikan dan pembangunan bakat tempatan bagi melahirkan tenaga kerja yang mampu membina, mencipta dan memasarkan aplikasi serta sistem AI yang bersifat tempatan tetapi bertaraf global.

Beliau turut menekankan kepentingan membina ekosistem AI yang inklusif dan beretika agar teknologi yang dibangunkan bukan sahaja bersifat komersial, tetapi juga mengambil kira nilai kemanusiaan.

“Kita tidak mahu teknologi yang menggantikan manusia secara keseluruhan. Sebaliknya, kita mahu AI yang memperkasa manusia. Ini menuntut dasar yang lebih mendalam serta pelaburan yang konsisten,” katanya.

Mengulas mengenai industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) yang menjadi tumpuan dalam RMK13, beliau berkata, negara kini berhasrat beralih kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memperluas kepelbagaian ekonomi serta menjadikan Malaysia sebagai hab penggunaan ciptaan baharu yang menghasilkan produk dan peralatan berjenama tempatan.

“Hari ini memang ada produk Buatan Malaysia (Made in Malaysia), tetapi banyak daripadanya sebenarnya dilesenkan daripada syarikat negara maju seperti Jepun dan China, semata-mata untuk memperoleh keistimewaan cukai dan tarif.

“Justeru, kita mahu Malaysia menjadi pencipta, bukan sekadar pengguna jenama. Kita perlu menjadi pengeluar seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea agar dapat mencipta nilai tinggi dalam industri ini,” ujarnya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Ser Anwar Ibrahim dalam pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat mengumumkan sasaran Malaysia untuk menjadi negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030.

Katanya, kerajaan mahu negara ini muncul sebagai hab serantau bagi inovasi teknologi digital serta pengeluaran produk dan perkhidmatan berjenama ‘Made by Malaysia’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×