SHAH ALAM: Dua perlawanan awal Kelantan Red Warriors (KRW FC) dalam saingan Liga A1 Semi Pro yang membuka tirai pada Sabtu ini terpaksa ditangguhkan.
Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kelonggaran itu diberikan kepada skuad KRW FC bagi menyelesaikan isu sekatan pendaftaran pemain yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu lalu.
Kata Mohd Yusoff, KRW FC telah disekat daripada mendaftarkan semua pemain sehingga 14 Ogos ini, sekali gus tidak boleh beraksi pada dua perlawanan awal musim ini.
“Seperti yang kita sedia maklum, KRW FC telah terima surat daripada FIFA yang menyatakan mereka entiti yang sama seperti Kelantan FC sekali gus disekat mendaftarkan pemain hingga 14 Ogos depan.
“Memandangkan saingan Liga A1 Semi-pro sudah bermula minggu ini, Ahli Lembaga Pengarah AFL bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada KRW FC untuk ditangguhkan dua perlawanan yang bakal mereka hadapi awal bulan depan.
“Ini kerana mereka tiada pemain yang boleh diturunkan sehinggalah isu itu diselesaikan. Sementara itu, AFL pula masih membuka pendaftaran hingga 25 Ogos depan dan tiada masalah buat mereka beraksi selepas itu (14 Ogos).
“Buat masa ini, pihak AFL alu-alukan kedatangan KRW FC kerana mereka sudah buat persiapan yang bagus dengan menandatangani kontrak jurulatih dan pemain lebih awal.
“Jadi, kita berikan sedikit masa untuk mereka selesaikan segala perkara berbangkit,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan FIFA telah menghantar surat tunjuk sebab rasmi yang mana salinannya sudah dimajukan kepada KRW FC pada minggu lalu.
KRW FC dalam kenyataan balas menyatakan pihaknya sudah menjawab surat FIFA dan kini sedang menunggu jawapan badan induk bola sepak dunia itu. – UTUSAN










